Vivo X60 adalah pengganti kepada Vivo X50. Membezakan generasi lama dengan yang bakal dilancarkan ini adalah, siri X60 akan mempunyai variasi peranti mercu yang dikatakan akan dijana dengan cip Snapdragon 888 dan versi kelas pertengahan akan menggunakan cip Exynos 1080. Vivo X60 juga akan menggunakan kamera dari Zeiss, yang mana jelas di sini ia meneruskan fokus terhadap kamera seperti X50 sebelum ini.

Terkini, spesifikasi kamera peranti-peranti X60 telah tertiris. Vivo X60 akan menggunakan tri-kamera Zeiss dari lensa 48+13+13 Megapixel. Sensor adalah utama f/1.6, sudut ultra lebar dan juga untuk potret. Untuk Vivo X60 Pro pula, ia menggunakan tetapan kuad-kamera 48+13+13+8 Megapixel dari sensor utama f/1.48, sudut ultra lebar, potret dan periskop zum 5x optikal dan 60x digital.
Kesemua peranti Vivo X60 akan hadir dengan sistem gimbal seperti X50, mungkin setiap variasi juga akan mempunyai skrin 120Hz dan pengecasan pantas 33W. Untuk Vivo X60 Pro+, peniris tidak kongsi butiran kamera. Tetapi ia dikatakan menggunakan rekaan modul berbentuk L dan ia adalah variasi yang dijana Snapdragon 888.