Cari @ Amanz

Vivo sebelum ini telah mengesahkan bahawa Vivo X60 dan Vivo X60 Pro akan menjadi yang terawal menggunakan cip Exynos 1080. Ia dijangka terdiri dengan tiga model berbeza tetapi dua daripadanya telah diperlihatkan menerusi imej rasmi di laman Vivo China. Ia bukan sahaja memperlihatkan, rekaan penuh pada panel belakang. Tetapi, turut mendedahkan sejumlah spesifikasi pada peranti.

Melaluinya, kita boleh lihat kedua-duanya hadir dengan rekaan modul kamera di belakang yang sama. Cuma apa yang membezakannya, hanya bilangan sokongan sensor yang disertakan. Kalau perasan, terdapat satu sensor berbentuk empat segi yang disertakan – memberikan gambaran di mana salah satu model di bawah ini bakal mempunyai kemampuan zum yang tinggi menggunakan sistem periskop.

Apa yang menariknya, kamera belakangnya turut menggunakan lensa daripada Zeiss, hadir dengan sistem penstabilan yang baik dan sokongan malam yang dipertingkatkan. Ini sekaligus menjadikan Vivo adalah syarikat ketiga yang menggunakan lensa daripada ZEISS selepas Nokia dan Sony.

Buat masa ini, itu sahaja yang diketahui. Tiada langsung butiran lanjut mengenai rekaan pada panel hadapan peranti yang ditemui menerusi laman web tersebut. Namun mengikut spekulasi tersebar sebelum ini, ia akan dilengkapi paparan berlubang pada bahagian tengah. Mengikut ura-ura tersebar peranti pintar ini mungkin akan dilancarkan pada 29 Disember 2020.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd