Samsung Galaxy A72 5G dijangka bakal menjadi pengganti untuk Samsung Galaxy A71 5G. Jika sebelum ini, ia hanya didapati tertiris menerusi foto tersebar yang memaparkan rekaan kerangka sahaja. Kini, ia telah diperlihatkan dalam beberapa imej pengolokan pula. Ia sekaligus, memberi kita gambaran lebih dekat mengenai rekaan pada peranti.

Memetik imej tertiris, rekaannya di sini dilihat menyerupai Samsung Galaxy A52 5G yang tertiris sebelum ini. Namun, ia dipercayai akan menggunakan saiz skrin yang lebih besar – iaitu berukuran 6.7-inci. Rekaan lain dikatakan masih sama – ia termasuklah menggunakan panel hadapan jenis berlubang. Selain, turut dipercayai hadir dengan bahan binaan berasaskan plastik dan bingkai daripada logam.

Seterusnya, ia juga dikatakan bakal disertakan dengan sistem kuad-kamera utama, bicu audio 3.5mm dan pengimbas cap jari pada skrin. Buat masa ini, konfigurasi kameranya masih belum diketahui. Namun begitu, menurut spekulasi awal ia mungkin menggunakan sensor utama sebesar 64-Megapixel. Itu sahaja yang diketahui dan tiada sebarang maklumat berkaitan tarikh pelancaran peranti yang ditemui buat masa ini.