Carian
Rekaan Samsung Galaxy A52 5G Diperlihatkan Dalam Imej Pengolokan
December 8, 2020 Amy Maizuraa

Setakat ini, pelbagai spekulasi mengenai Samsung Galaxy A52 5G telah didengari. Pada mulanya, konfigurasi kamera utamanya tertiris. Kemudian, diikuti pula dengan markah penanda arasnya pula yang dikatakan hadir dengan sokongan Android 11.

Kali ini, giliran rekaan penuh peranti pula diperlihatkan dalam beberapa imej pengolokan. Memetik imej yang dikongsi oleh OnLeaks, Samsung Galaxy A52 5G dipercayai hadir dengan sistem kuad-kamera utama. Selain itu, ia juga mungkin menggunakan panel belakang berasaskan plastik dan bingkai daripada logam.

Ia juga dikhabarkan hadir dengan panel hadapan berlubang bersama skrin berukuran 6.5-inci. Menurut sumber lagi, peranti ini juga bakal dilengkapi pengimbas cap jari pada paparan dan bicu audio 3.5mm. Jika diteliti, rekaannya di sini seakan menyerupai model Galaxy A51 5G sebelum ini. Tetapi, dengan sedikit perubahan pada susunan lensa kamera utama.

Buat masa ini, tidak banyak yang diketahui mengenai spesifikasi pada peranti. Namun, khabar angin sebelum ini mengatakan ia mungkin dilengkapi cip Snapdragon 750G, sensor utama 64-Megapixel dan bateri 4,000mAh.

Komen