Cari @ Amanz

Instagram adalah aplikasi media sosial yang popular. Tetapi, aplikasi ini semakin lama menjadi semakin berat kerana penuh dengan ciri dan fungsi yang tidak semua pengguna akan menggunakannya. Asalnya, Instagram hanya membenarkan pengguna kongsi video atau gambar – kini ia mempunyai Stories seakan Snapchat, ada Reel seakan TikTok dan turut ada fungsi membeli belah.

Pengguna yang mempunyai sambungan Internet terhad akan sukar menggunakan aplikasi ini, kerana ia berat dan banyak menggunakan kuota. Kemudian pengguna Android Go, yang mana peranti mereka mempunyai memori rendah akan mempunyai storan terhad dan prestasi tidak mengizinkan. Oleh yang demikian, Instagtram Lite diperkenalkan sekali lagi. Saiz aplikasi hanya 2MB dan ia mempunyai fungsi asas seperti di zaman awal Instagram baru ingin popular.

Fungsi Stories masih dikekalkan, tetapi  Reels, Shopping, dan IGTV dibuang. Ia hanya asas untuk pengguna nikmati penggunaan Instagram yang cukup ada fungsi lihat, suka, kongsi dan ikut. Aplikasi ini buat masa ini terhad ke pengguna di India dengan bahasa Bangla, Gujarati, Hindi, Kannada, Malayalam, Marathi, Punjabi, Tamil, dan Telugu. Bagi yang tidak tahu, ini bukan kali pertama Instagram Lite diperkenalkan. Ia sudah hadir sejak 2018, tetapi terhad kepada pengguna Mexico, Kenya, dan Filipina. Kemudian awal tahun, iaitu pada bulan Mac – aplikasi ini ditarik kembali dari Play Store.

Bagi pengguna di Malaysia, aplikasi ini boleh sahaja dipasang secara manual. Ia hanya akan tiba ke pasaran global di masa akan datang. Tetapi Instagram tidak memberikan sebarang tarikh lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd