Pada bulan Mac tahun ini, Google memperkenalkan aplikasi Google Camera mereka yang popular untuk peranti Android Go – dinamakan sebagai Google Camera Go. Seperti yang semua sedia maklum, Google Camera atau nama singkat adalah GCam mula meraih populariti sejak Pixel 2 kerana aplikasi ini dimodifikasi untuk digunakan oleh pengguna peranti lain dan tidak terhad kepada Pixel.
Aplikasi Google Camera mempunyai fungsi mod potret yang cantik, mod malam yang hebat serta ia ringkas dan seronok untuk digunakan. Google berbesar hati membawakan aplikasi yang sama dengan sedikit fungsi terhad untuk peranti kelas permulaan. Mod malam diperkenalkan pada bulan Oktober lepas dan terkini, kemampuan fotografi HDR pula diperkenalkan.
Semasa aplikasi kamera ini dikemaskini dengan sokongan mod malam, fungsi HDR dinyatakan hanya akan tiba di masa hadapan. Kini masa itu telah tiba. Pengguna peranti Android Go kini boleh mengambil gambar HDR yang boleh memberikan warna yang lebih cerah, bayang-bayang yang lebih dalam serta butiran yang sedikit dipelihara. Tetapi, Google turut ingatkan yang hasil gambar adalah berbeza pada setiap peranti kerana cip pemproses berbeza, perisian/sistem operasi dan pengoptimasian yang berbeza.
Pengguna Android Go akan menerima kemaskini dari Play Store, atau anda boleh sahaja muat turun APK dari APKMirror untuk mencuba.