Cari @ Amanz

Sewaktu pembentangan laporan JENDELA untuk suku keempat tahun ini, pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek turut mengatakan bahawa mereka sedang dalam perancangan untuk menjadikan perkhidmatan telekomunikasi sebagai cabang utiliti ketiga negara, selepas air dan elektrik.

Sebelum ini, mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo telahpun menzahirkan hasrat untuk menjadikannya kenyataan. Kini, pihak SKMM telah memulakan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri sebagai salah satu cara untuk meningkatkan lagi capaian rangkaian Internet ke seluruh negara.

Malah, kerajaan negeri Kedah merupakan diantara yang pertama untuk mengatakan bahawa mereka berminat untuk menjadikan perkhidmatan telekomunikasi sebagai cabang utiliti ketiga negeri tersebut.

Dr. Fadhlullah menerangkan bahawa dengan pengiktirafan perkhidmatan telekomunikasi sebagai sebuah perkhidmatan asas negara, ini bermakna bahawa untuk setiap pembangunan baru yang dilakukan di Malaysia, perkhidmatan telekomunikasi harus dipertimbangkan juga setaraf dengan perkhidmatan air dan elektrik, dan memastikan bahawa semua penduduk menerima akses perkhidmatan yang memuaskan.

Buat masa ini, pelan ini masih lagi berada didalam fasa perbincangan, dan beberapa negeri seperti Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu semuanya kini berada didalam fasa cadangan, dimana negeri-negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak masih lagi berada didalam fasa perbincangan.

Ia telah dilaporkan bahawa Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad telah bersetuju untuk menjadikan perkhidmatan ini sebagai utiliti ketiga, manakala perbincangan masih lagi sedang berjalan dengan pegawai Exco Kedah mengenai polisi-polisi yang perlu diperkenalkan.

Pihak SKMM juga berjumpa dengan kerajaan Melaka, dimana mereka telah bersetuju secara prinsip bahawa perkhidmatan telekomunikasi adalah sebahagian daripada perkhidmatan asas negara.

Oleh kerana proses untuk berjumpa dengan kerajaan tempatan dan persetujuan untuk menjadikan perkhidmatan telekomunikasi ini sebagai salah satu cabang perkhidmatan asas negara akan mengambil masa.

Pihak SKMM diharap akan hadir dengan maklumat lanjut mengenainya apabila mereka membentangkan laporan seterusnya pada penghujung suku pertama tahun hadapan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd