Beberapa bulan yang lalu, kami telah melaporkan bahawa kerajaan sedang bercadang untuk menamatkan perkhidmatan internet 3G menjelang hujung tahun hadapan.
Tahun 2021 bakal tiba, dan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperlihatkan beberapa butiran mengenai penutupan perkhidmatan tersebut.
Fasa pertama telah bermula suku ketiga dan keempat ini dimana pihak SKMM telah bekerjasama dengan pelbagai pihak, seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SIRIM, CFM dan pembekal perkhidmatan untuk memperkenalkan pelan penamatan perkhidmatan 3G ini.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2020/12/Jendela-3D-Sunset-950x535.png)
Dalam pada itu, notis penamatan perkhidmatan 3G juga telah dikeluarkan dan pihak-pihak berkepentingan diberitahu mengenai perkara ini. Sebagai contoh, peranti 3G dan yang tidak mempunyai sokongan VoLTE tidak akan melulusi piawaian SIRIM bermula tahun hadapan.
Fasa kedua akan bermula pada tahun hadapan, dimana pelan penutupan perkhidmatan rangkaian 3G ini akan berjalan secara berperingkat. Setiap pembekal perkhidmatan akan mula untuk menutup rangkaian 3G mereka bermula suku pertama tahun hadapan sehingga penghujung tahun hadapan apabila ia dijangka Malaysia akan menamatkan rangkaian ini sepenuhnya.
SKMM akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat ini untuk memastikan bahawa sepanjang proses ini berlaku, penaiktarafan rangkaian 4G akan diteruskan memastikan rakyat Malaysia tidak terkesan akibat kehilangan rangkaian 3G ini.
Jika semuanya berjalan seperti lancar, pada awal tahun 2022, SKMM dengan syarikat-syarikat telekomunikasi ini akan mengoptimasikan rangkaian masing-masing untuk memastikan rangkaian 4G yang menggantikan 3G ini stabil dan boleh digunakan tanpa masalah.