Cari @ Amanz

Malaysia tidak lagi dilihat sebagai pasaran utama Xperia sejak dua tahun lalu akibat penstrukturan semula perniagaan telefon mudah alih Sony. Akibatnya peminat Xperia perlu mengimport peranti yang ingin dimiliki atau menunggu pelancaran rasmi yang dilakukan lewat.

Sony Xperia 1 II diumumkan pada Februari lalu tetapi hanya mula dipasarkan di Malaysia pada November yang lalu pada harga RM4999. Dengan tahun 2020 semakin hampir melabuhkan tirai, persoalan sama ada penantian selama sembilan bulan untuk Xperia 1 II berbaloi perlu dijawab dengan segera. Kami tidak mahu menghasilkan kejutan dan jawapan ikhlasnya ialah tidak sama sekali. Mengapa tidak? Baca ulasan ini untuk jawapannya.

Spesifikasi Dan Rekaan

Skrin6.5″ OLED 4K
60Hz, HDR BT.2020
PemprosesQualcomm Snapdragon 865 (7nm)
Cip1 X 2.84 GHz Kyro 585 Prime
3 X 2.42 GHz Kyro 585 Gold
4 X 1.80 GHz Kyro 585 Silver
Cip GrafikAdreno 650
RAM8GB
Muatan Dalaman256GB (mikro SD 2TB)
Kamera Utama12+12+12+0.3 Megapixel f/1.7+f/2.4+f/2.2, Zum optikal 3X, Ultra sudut lebar, OIS, ToF
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0
Bateri4000 mAh
Pengecasan berwayar 21W
Pengecasan nirwayar 11W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM4999

Rekaan Xperia 1 tahun lalu dikitar semula untuk tahun kedua. Sekali lagi Sony merasakan peranti dengan skrin memanjang 21:9 ialah rekaan yang paling sesuai untuk tahun 2020. Antara sebab yang diberikan ialah semakin banyak kandungan video boleh distrim pada nisbah ini serta memudahkan dua aplikasi dilancarkan serentak menerusi ciri Multi-Window.

Skrin OLED 6.5″ yang digunakan mempunyai resolusi 1644×3840 pixel dengan kepadatan 643 PPI. Ini menjadikannya peranti dengan resolusi tertinggi tahun ini dan boleh menstrim kandungan YouTube dan Netflix pada resolusi 4K. Paparan warna HDR BT.2020 juga disokong untuk kandungan warna video kelihatan lebih tepat. Satu kekurangan yang mungkin ada sedari di sini ialah tiadanya sokongan kadar segar semula kerana skrin hanya menyokong 60Hz. Dengan skrin 4K, Sony mungkin merasakan tiada keperluan untuk kadar segar semula yang tinggi pada peranti ini.

Dua pembesar suara stereo diletakkan pada bahagian hadapan skrin. Sony adalah segelintir pengeluar (seperti ASUS) yang menyertakan pembesar suara stereo yang menghala ke depan. Tahun ini juga mereka menyertakan bicu audio 3.5mm yang terletak pada bahagian atas. Jadi Sony menongkah arus trend pasaran yang tidak merasakan dua ciri ini penting untuk terus diberikan.

Kerana ia dilancarkan pada bulan Februari, ia masih sekadar menggunakan Snapdragon 865. Di Malaysia hanya model dengan memori 8GB RAM dan storan 256 GB ditawarkan. Ini langsung tidak menakjubkan untuk sebuah peranti mercu yang kini sudahpun ada yang dilengkapi 16GB RAM. Storan yang ditawarkan juga agak mengecewakan tetapi tidak perlu risau kerana sokongan kad mikro SD sehingga 1TB boleh digunakan jika ia tidak mencukupi.

Kamera utama memadankan sensor 12+12+12+0.3 MP yang disusun menegak pada bahagian belakang peranti. Bonggol kamera tidak terlalu tinggi tetapi masih boleh membuatkan peranti terjungkit apabila diletakkan di atas meja. Sistem lensa yang disokong pula ialah sudut lebar, ultra sudut lebar, telefoto optikal 3X dan pengesan kedalaman ToF.

Sementara itu kamera hadapan pula adalah sebesar 8MP. Dengan kombinasi lensa ini, peranti mampu merakam video sehingga resolusi 4K 120p selepas dikemaskini ke Android 11 yang baru diterima minggu ini.

Tubuh Xperia 1 II adalah lebih berkotak berbanding tahun lalu. Ia lebih awal menggunakan estetik berkotak berbanding iPhone 12 Pro Max. Sisi masih lagi dibulatkan sedikit bagi memastikan keselesaan. Peranti sedap di dalam tangan kerana binaan bingkai logam tetapi jika diberikan pilihan kami lebih menyukai rekan Xperia 1 tahun lalu yang masih mengekalkan rekaan klasik siri Xperia Z.

Butang laras suara, pengatup kamera dan kuasa terletak di sisi kanan. Kesemua butang mempunyai binaan premium yang dijangka dari Sony. Butang kuasa turut dilengkapi pengimbas cap jari fizikal kerana Sony masih enggan meletakkan sensor bawah skrin. Jika Apple tegar dengan cara mereka sendiri, di dalam dunia Android pula Sony mempunyai perangai yang sama. Melengkapkan rekaan ialah port pengcasan USB-C pada bahagian bawah.

Rekaan Sony Xperia adalah unik apabila dibandingkan dengan peranti lain yang amat pelanduk dua serupa ataupun meme Spiderman menuding jari. Tubuh memanjang dengan skrin 4K yang masih berdagu serta berdahi. Tiada takuk dan tiada juga lubang kamera. Pengimbas cap jari fizikal diteruskan begitu juga dengan bicu audio. Sony mempunyai pelbagai masalah tetapi pujian kami berikan kerana kekal dengan identiti sendiri tanpa tertekan untuk meniru pengeluar lain. Jika keunikan yang anda cari, Xperia 1 II adalah peranti yang akan memenuhi keperluan anda.

Penggunaan Dan Perisian

Di awal ulasan unit yang kami terima masih menggunakan Android 10 dengan pelancar Android Asli. Tetapi ketika ulasan ditulis kemas kini ke Android 11 diberikan secara mengejut menyebabkan seksyen ini terpaksa ditulis semula.

Tiada perubahan besar dilakukan Sony pasca penerimaan Android 11. Ikon, antaramuka, ciri tambahan dan cara peranti digunakan adalah selari dengan kesemua peranti yang menggunakan pelancar Android asli. Ianya kemas, lancar dan mungkin bole kami katakan sedikit bosan. Ciri tambahan yang diberikan adalah 21:9 Multi Window dan Side Sense.

Dengan 21:9 Multi Windows dua aplikasi dilancarkan serentak dengan saiz tetingkap segi empat sama. Amat berlainan pengalamannya dengan peranti berskrin 18:9. Terdapat ruang lebih besar untuk menggunakan dua aplikasi serentak. Side Sense pula adalah seperti Edge Panels pada peranti One UI. Terdapat beberapa pintas pantas aplikasi, mengakses 219 Multi Window, notifikasi dan mod sebelah tangan. Mod sebelah tangan ini paling kerap kami gunakan sepanjang ulasan kerana amatlah canggung untuk menggunakan Xperia 1 II.

Canggung keran tubuh peranti yang terlalu memanjang sehingga sukar untuk mengimbanginya di dalam telapak tangan. Canggung lagi kerana sukar untuk mengakses sebahagian skrin yang tidak mampu dicapai oleh jari. Mod sebelah tangan menyelamatkan keadaan tetapi pula menjadi kecil sehingga terasa membazir.

Sebab mengapa skrin 21:9 ini digunakan oleh Sony adalah untuk membolehkan kandungan filem yang kini dirakamkan pada nisbah yang sama dipaparkan dengan betul pada skrin. Kami faham tetapi adalah ia berbaloi sehingga mengorbankan ergonomik penggunaan peranti?

Tidak dapat dinafikan skrin Xperia 1 II adalah antara yang terbaik kami ulas tahun ini. Apabila mod Creator untuk skrin diaktifkan, warna pada kandungan Netflix kelihatan lebih semula jadi. Tiada masalah kekuningan dan tampak lebih sedap mata memandang. Menonton filem tanpa palang hitam besar adalah amat memuaskan bagi pencinta wayang gambar seperti kami.

Permua juga dapat dijalankan dengan lebih baik terutamanya bagi peminat FPS. Kerana skrin yang memanjang, kesemua butang kawalan tidak lagi menghalang visual di dalam COD Mobile misalnya. Ruang untuk menembak lebih besar dapat dinikmati berbanding skrin 16:9 dan 18:9. Kami kini faham mengapa Sony menjadi peranti rasmi untuk pertandingan COD Mobile. Dalam hal ini skrin yang lebih lebar adalah lebih penting berbanding skrin 120Hz.

Pada waktu yang sama kami menyedari majoriti kandungan video masih lagi menggunakan nisbah 16:9 membuatkan wujud pula palang hitam sisi yang besar pada kandungan video yang ditonton. Situasi menjadi semakin teruk jika kandungan lama dengan nisbah 4:3 ditonton. Lebih banyak ruang hitam memenuhi skrin berbanding video. Ini membuatkan Xperia 1 II ialah telefon pintar terbaik untuk menonton filem tetapi bukan untuk kandungan lain. Jelas ciri skrin 21:9 dan sokongan Creator menyasarkan golongan niche yang amat kecil.

Seperkara lagi skrin tidak boleh diubah resolusinya. Ini mengakibatkan sesetengah permua seperti Genshin Impact tidak boleh dimainkan pada tetapan grafik tertinggi walaupun peranti menggunakan Snapdragon 865. Grafik sederhana terpaksa dipilih untuk mendapatkan kadar bingkai yang lebih stabil.

Dari pengalaman selama dua minggu menggunakan Xperia 1 II kami boleh katakan ia adalah peranti yang berkuasa dan lancar digunakan walaupun hanya dilengkapi 8GB RAM. Tetapi rekaan tubuh yang memanjang menyukarkan penggunaan sementara skrin 21:9 yang direka khusus untuk menstrim filem tidak sesuai pula untuk kandungan lain.

Penanda Aras

Snapdragon 865 ialah pemproses yang berkuasa untuk separuh tahun pertama 2020 tetapi telahpun dipintas oleh Snapdragon 865+ dan Apple A14 Bionic. Dari segi prestasi Xperia 1 II mencatatkan 536,9610 markah dalam ujian Antutu 3D dan 718/1889 markah dalam ujian Geekbench 5.

Markah yang dicatatkan dalam ujian Geekbench 5 adalah lebih rendah berbanding peranti lain dengan pemproses yang sama (Galaxy S20 FE misalnya). Xperia 1 II bukanlah peranti yang paling berkuasa tahun ini tetapi masih berada di tangga 10% peranti terpantas pernah dihasilkan. Tiada isu dihadapi sepanjang tempoh ulasan dan pelbagai permua boleh dijalankan pada tetapan tingi.

Kamera

Sony menyertakan tiga aplikasi kamera untuk Xperia 1 II. Satu adalah kamera biasa yang mudah digunakan. Camera Pro untuk peminat fotografi dengan puluhan tetapan manual. Akhir sekali ialah Cinema Pro untuk videografi juga dengan pelbagai pilihan manual.

Aplikasi kamera biasa menyasarkan pengguna biasa yang hanya inginkan ciri paling asas. Camera Pro dan Cinema Pro pula menyasarkan peminat fotografi sebenar terutamanya mereka yang memang sudah biasa menggunakan kamera digital keluaran Sony. Antaramuka aplikasi-aplikasi ini banyak meminjam dari siri Alpha. Susunan tetapan dan ikonografi adalah sama bagi memudahkan pengguna Alpha menggunakan Xperia 1 II seperti kamera digital mereka yang jauh lebih besar.

Dari segi pilihan, tiada peranti lain di pasaran yang membenarkan kawalan manual yang sangat menyeluruh dengan aplikasi yang tidak perlu dibeli secara berasingan. Kami bukanlah insan yang jatuh ke dalam kategori peminat fotografi tetapi apabila Xperia 1 II dipinjamkan ke krew Amanz TV yang memang menggunakan kamera Alpha, mereka cukup berpuasa hati dengan pilihan yang diberikan. Jadi bolehlah kami katakan sekiranya anda memang pengguna Sony Alpha, kamera Xperia 1 II tidak akan mengecewakan.

Tetapi bagi insan yang buta fotografi seperti kami, Camera Pro dan Cinema Pro adalah aplikasi yang sukar untuk difahami apakan pula dipelajari. Sepanjang tempoh ulasan kami lebih banyak menggunakan aplikasi kamera biasa sahaja.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar yang diambil adalah tidak mengejutkan. Secara tradisinya kamera peranti mercu Xperia memang terkenal dengan penghasilan warna yang tepat dan imej yang tajam tanpa mengira situasi. Anda dapat lihat sendiri apa yang katakan menerusi sampel yang kami sertakan di bawah. Peranti Samsung menghasilkan gambar dengan warna yang lebih menyerlah sehingga kelihatan palsu. iPhone pula dengan julat dinamik yang baik. Kamera Xperia kami rasakan mengimbangi kedua-dua peranti mercu ini. Gambar kelihatan cukup baik sehingga tidak memerlukan suntingan yang banyak sebelum boleh dikongsi ke media sosial.

Kualiti gambar Xperia 1 II memang tidak boleh kami sangkal. Tetapi kualiti ini memerlukan pengorbanan masa. Kamera peranti ini ialah yang paling perlahan untuk peranti mercu 2020. Proses mengambil gambar dan mengubah modnya adalah seperti menggunakan sebuah telefon kelas pertengahan. Kamera hanya boleh digunakan semula sesaat selepas butang pengatup ditekan. Ini adalah isu yang kami sedari pada peranti Xperia sejak tiga tahun lalu.

Perlahan bukan sebab pemproses tidak berkuasa tetapi bagaimana perisian kamera Xperia berfungsi. Kamera menanti untuk memfokus sebelum mengambil masa untuk memproses gambar yang diambil. Pengalaman menggunakan kamera adalah sama seperti menggunakan kamera digital Sony RX100 Mark IV di pejabat. Mungkin Sony merasakan, kamera yang perlahan bukanlah isu jika hasilnya memberangsangkan. Tetapi pengguna telefon pintar tidak sama seperti pengguna kamera digital. Di telefon pintar kepantasan lebih diutamakan. Ini adalah isu yang telah bertahun dan kami yakin tidak akan diperbaiki kerana di Sony kualiti adalah lebih penting berbanding kuantiti.

Tidak berakhir di sini, rakaman video pula akan menghabiskan bateri dengan pantas. Rakaman selama 5 minit pada resolusi 4K menggunakan aplikasi Cinema Pro akan memakan 2% bateri. Skrin peranti yang sentiasa pada resolusi 4K mengakibatkan tempoh rakaman menjadi pendek.

Audio

Dengan dua pembesar suara stereo yang menghala ke depan, kualiti audio peranti ini adalah seimbang. Dari segi keseimbangan, hanya Asus ROG Phone 3 mampu menandingi kemampuan audio Xperia 1 II. Sungguhpun begitu penggunaan peranti menjadi pelik apabila audio melangkaui tahap pertengahan. Keseluruhan tubuh bergegar dengan amplitud yang kurang menyenangkan.

Ini berlaku walaupun dengan mod Dynamic Vibration System telah dimatikan. Ya sistem Dynamic Vibration System masih lagi disokong tetapi kami sarankan ia dimatikan sahaja kerana mengganggu pengalaman menonton video. Beberapa kali juga peranti terjatuh dari kedudukan menegak ketika kami menonton video di meja makan. Getaran yang kuat turun menghasilkan bunyi aneh apabila peranti diletakkan di dalam pendakap telefon kereta.

Apabila menggunakan aksesori audio pula, sistem DSEE boleh meningkat kualiti audio walaupun dari perkhidmatan penstriman. Dengan LDAC pula kualiti audio menerusi peranti audio nirwayar (yang menyokongnya) juga akan meningkat.

Bateri

Bateri adalah sebesar 4000 mAh dan adalah lebih besar berbanding 3330 mAh pada Xperia 1 asal. Peningkatan bateri yang baik tetapi masih belum cukup kerana pada penggunaan biasa, peranti hanya mampu bertahan sekitar 6-7 jam pada penggunaan berat dan meningkat ke sekitar 10 jam pada penggunaan lebih ringan. Kombinasi skrin 4K dan pemproses berkuasa menyedut kuasa bateri dengan cukup pantas.

Sistem pengecasan yang disokong pula sekadar 21W secara berwayar dan 11W secara nirwayar. Ini bukanlah sistem pengecasan terpantas yang kami gunakan tahun ini. Waktu pengecasan mengambil masa sekitar 90 minit kerana sistem Battery Care akan memperlahankan pengecasan selepas 90%. Bateri cepat habis tetapi lambat pula dicas jika dibandingkan dengan peranti mercu lain di dalam kelasnya.

Tetapi pujian kami berikan kepada sistem pengecasan yang sama kerana boleh memanjangkan hayat bateri. Dengan bateri yang tidak lagi boleh ditanggalkan, Battery Care boleh memastikan hayat bateri boleh bertahan lebih lama sebelum kehilangan kemampuan menyimpan caj.

Mod gaming yang disokong pula memintas bateri apabila pengecas disambung. Peranti akan menyedut kuasa terus ketika sesi permua. Xperia 1 II adalah sebahagian kecil peranti yang mempunyai mod unik ini. Kitaran pengecasan lebih rendah dan bateri peranti boleh digunakan lebih lama.

Pesaing

Sony Xperia 1 IIApple iPhone 12 Pro MaxSamsung Galaxy Note20 Ultra 5G
6.5″ OLED, 1644 x 3840, BT.2020, 60Hz (643 ppi)6.7″ OLED, 1284 x 2778, Dolby Vision, 60Hz (458 ppi)6.9″ Dynamic AMOLED 2X, QHD+, HDR10+, 120Hz (496 ppi)
Snapdragon 865 (7nm)
1 X 2.84 GHz Kyro 585 Prime
3 X 2.42 GHz Kyro 585 Gold
4 X 1.80 GHz Kyro 585 Silver
Apple 14 Bionic (5nm)
2 X 3.1 GHz Firestorm
4 X 1.8 GHz Icestorm
Exynos 990 (7nm)
2 X 2.73 GHz Mongoose M5
2 X 2.5 GHz Cortex A76
4 X 2.0 GHz Cortex A55
Adreno 650Apple GPUMali G-77 MP11
8 GB6 GB12 GB LPDDR5
256 GB128/256/512 GB nVMe
256 GB UFS 3.0
(mikro SD 1TB)
Kamera Utama 12+12+12+3D ToF Megapixel (f/1.7+f/2.4+f/2.2), OISKamera Utama 12+12+12+3D ToF Megapixel (f/1.6+f/2.2+f/2.4), OISKamera Utama 108+12+12 Megapixel (f/1.8+f/3.3+f/2.2),OIS
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.2
IP68IP68IP68
Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby Atmos
4000 mAh (Berwayar 21W, Nirwayar 11W) 
3687 mAh (Berwayar 20W, Nirwayar 15W)
4500 mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W)
Harga 4999Harga bermula 5299Harga RM5199

Kesimpulan

Apabila mengulas Xperia 1 II, kami memasang lagu “Sayang Semuanya Sudah Terlambat” nyanyian Shidee kerana ia amat cocok untuk peranti ini. Sayang kerana dilancarkan terlalu lambat sehingga spesifikasi yang nampak senonoh pada Februari 2020 telah ketinggalan pada November 2020. Sayang lagi kerana rekaan tubuh yang unik mendatangkan masalah untuk digunakan. Sayang lagi sekali kerana skrin yang cantik untuk menonton filem tidak serasi untuk kegunaan lain. Sayang terakhir ialah pada harga RM4999 harganya terlalu mahal untuk ciri-ciri yang ditawarkan.

Hanya peminat tegar Sony, pengguna yang memerlukan sistem kamera Sony dan yang mahukan kelainan akan melihat Xperia 1 II sebagai peranti pilihan. Bagi pengguna lain, terdapat banyak peranti lain di pasaran dengan penawaran ciri yang lebih baik pada harga yang jauh lebih munasabah.

Pro

  • Peranti dengan rekaan yang berlainan dari peranti lain di pasaran.
  • Dengan spesifikasi tinggi ia adalah amat lancar digunakan.
  • Skrin 21:9 4K dengan paparan warna tercantik 2020.
  • Audio stereo sebenar yang menghala ke hadapan.
  • Masih mempunyai bicu audio 3.5mm dan butang khas untuk kamera.
  • Sistem pengecasan yang menjaga kesihatan bateri.

Kontra

  • Skrin 21:9 terlalu panjang untuk penggunaan sebelah tangan.
  • Tubuh bergetar terlalu kuat ketika menggunakan speaker terbina.
  • Prestasi kamera yang perlahan seperti sebuah peranti kelas pertengahan.
  • Hayat bateri yang pendek.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd