Cari @ Amanz

Reuters kini melaporkan Apple sedang membangunkan kenderaan penumpang mereka tersendiri, dan menyasarkan untuk hadir dengannya menjelang tahun 2024 kelak.

Apple dijangka akan menyertakan sistem swapandu pada kenderaan berkenaan, selain dilengkapi dengan teknologi bateri yang serba baru. Menurut Reuters, teknologi bateri baru ini akan membolehkan kenderaan berkenaan dipandu untuk jarak yang lebih jauh berbanding apa yang ditawarkan pada hari ini.

Sebelum ini, kita sedia mendengar berkenaan Apple ingin membangunkan kereta mereka tersendiri beberapa tahun lepas. Namun, pada 2016 yang lepas, Apple diperkatakan telah memperkecilkan skop berkenaan, dan berbanding pengeluaran kereta, mereka telah lebih memfokuskan kepada pembangunan teknologi swapandu disebaliknya – dan mungkin melesenkan ia kepada pengeluar kenderaan sedia ada.

Apa pun, laporan Reuters hari ini mengatakan Apple sekali lagi sedang melihat untuk membangunkan kenderaan mereka tersendiri, dan menyasarkan tahun 2024 untuk mengeluarkannya.

Pada masa yang sama, ia turut diperkatakan Apple mungkin menunda sedikit dan memperkenalkannya  sekitar 2025 sekiranya kelewatan disebabkan oleh penularan Covid-19 ini terus memberikan kesan kepada pengeluaran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd