Cari @ Amanz

Rekod kes positif Covid-19 di Malaysia dipecahkan beberapa kali minggu lalu dan kini mula kedengaran ura-ura PKP yang diperketat diperkenalkan semula. Oleh itu proses vaksinasi rakyat Malaysia semakin penting untuk menentang wabak. Hari ini perjanjian untuk di antara Pfizer-BioNTech dan kerajaan Malaysia ditandatangani untuk membekalkan vaksin BNT1262b untuk kegunaan tempatan.

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan telah dimeterai oleh YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Kesihatan Malaysia bagi pihak Kerajaan Malaysia manakala pihak Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili oleh Puan Luksanawan Thangpaibool, pengurus negara (Malaysia/Brunei) secara maya di Pejabat Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari 2021 meliputi 20% populasi penduduk Malaysia dengan 2 dos seorang. Perjanjian yang dimeterai pada hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia.

Kerajaan juga bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos meliputi 39% populasi penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun 2021.

Covid Vaksin

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, vaksin keluaran Pfizer-BioNTech akan diberikan kepada rakyat Malaysia di bandar manakala vaksin AstraZeneca pula diberikan kepada penduduk luar bandar kerana tiadanya keperluan sistem penyejukan khusus.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin Pfizer-BioNTech dan AztraZeneca, kami menyarankan anda membaca artikel Lembaran Fakta: Program Vaksinasi COVID-19 yang diterbitkan hujung minggu lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd