Cari @ Amanz

Tahun 2021 bermula dengan kekecewaan kerana lebih mirip tahun 2020 Bahagian II. Bagi penduduk enam negeri, PKP berkuat kuasa dan ramai kembali duduk di dalam rumah menghitung hari dibenarkan keluar bagai seorang banduan. Dengan kekecewaan menjadi tema awal 2021, kami amat berharap peranti mercu pertama Samsung untuk tahun ini mampu memberikan sedikit cahaya di hujung terowong gelap.

Beberapa hari yang lalu kami diberikan akses awal kepada Samsung Galaxy S21 Ultra yang merupakan model paling mercu yang ditawarkan mereka. Tahun lalu umum diketahui kemampuan kamera adalah baik cuma terdapat isu pemfokusan yang menjengkelkan, zum 100X yang adalah gimik dan prestasi Exynos 990 yang tidak setanding cip 7nm yang lain.

Tanpa menulis lebih panjang, kami boleh katakan dari pengalaman awal Samsung Galaxy S21 Ultra tidak mengecewakan. Banyak isu lalu ditambah baik tetapi adakah ini cukup baik untuk menarik semula pengguna ke kem Samsung?

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy S21 Ultra
Skrin6.8″ Dynamic AMOLED 2X
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesExynos 2100 (5nm)
Cip1 X 2.9 GHz Cortex X1
3 X 2.9 GHz Cortex A78
4 X 2.2 GHz Cortex A55
Cip GrafikMali G78 MP4
RAM12/16GB LPDDR5
Muatan Dalaman256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama108+12+10+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9, Zum 100X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto40 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 21W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 5299/5899

Skrin 6.9″ yang digunakan kini adalah lebih rata jika dibandingkan dengan S20 Ultra tahun lalu. Lengkungan sisi hampir tidak disedari kali ini tetapi kami rasakan rekaan skrin S21+ adalah lebih baik. Dengan skrin yang lebih rata, isu video melimpah keluar sehingga skrin sisi tidak lagi berterusan. Teknologi Dynamic AMOLED 2X diteruskan lengkap dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Dua penambahbaikan paling ketara pada skrin S21 Ultra ialah akhirnya menyokong kadar segar semula adaptif 10-120Hz pada resolusi tertinggi WQHD+.

Tahun lalu sekiranya anda ingat, kedengaran ura-ura 120Hz pada WQHD+ akan diberikan menerima kemas kini tetapi sehingga kini tidak kunjung tiba. Skrin tahun ini juga dipertingkatkan lagi dengan keterangan puncak 1500 Nits.

Penambahbaikan lain ialah pengimbas cap jari yang kini 1.7% lebih besar zon imbasannya dan proses mengimbas meningkat 50% lebih pantas. Samsung tidak mengatakan sensor siapakah dipakai tetapi besar kemungkinan adalah dari Qualcomm yang dilancarkan awal minggu ini.

Yang mengujakan bagi kami ialah akhirnya tiba sokongan stylus S Pen berteknologi S Pen pada siri Galaxy S. Ini mungkin satu lagi petanda awal Galaxy Note akan direhatkan dalam waktu terdekat. Kami akan bercakap lebih banyak mengenai sokongan S Pen di dalam segmen khas di bawah nanti.

Jika satu kekurangan boleh dikatakan mengenai skrin ini ialah ia tidak mempunyai pengimbas nadi terbina seperti pada Xiaomi Mi 11. Jika ada satu ciri Galaxy S10 yang kami rindukan ialah pengimbas nadi terbina. Dengan pengimbas kami tidak memerlukan jam tangan pintar untuk melihat kadar degupan jantung.

Skrin Samsung jarang sekali mengecewakan. Tahun lalu skrin mereka hanya tewas kepada Xperia 1 II dalam anugerah peranti Amanz kerana resolusinya lebih rendah dan tiada penawaran waran BT.2020. Skrin S21 Ultra cemerlang kerana tiada color banding atau ghosting kami sedari sepanjang penggunaan selama dua hari ini. Kandungan HDR disokong di bawah format HDR10+ yang kini semakin popular. Penggunaan di bawah matahari terik juga tidak bermasalah dengan antaramuka boleh dilihat dengan jelas. Kami tidak akan terkejut jika dalam masa terdekat DisplayMate akan menobatkan skrin S21 Ultra 5G sebagai yang terbaik.

Skrin cantik dipadankan dengan kerangka aluminium yang teguh. Kami katakan teguh kerana tanpa bahagian skrin melengkung yang prominen, bingkai sisi kini lebih besar. Akibatnya peranti kini lebih tebal dan lebih berat. Ia sedap dipegang di dalam tangan dan tidak terasa licin. Ketebalannya tidak begitu terasa kerana bahagian sisi masih dibulatkan. Bercakap mengenai sisi, kedua-dua butang kuasa dan laras audio terletak di sisi kanan. Kedudukan butang kesemua peranti Samsung kini konsisten selepas beberapa kali diubah.

Sungguhpun begitu izinkan kami bercakap mengenai bonggol kamera S21 Ultra yang amat lah besar. Ia sungguh besar sehingga bersambung dengan bahagian bingkai. Kita mulakan dengan positif dahulu. Kami akui rekaan Contour Cut Design kelihatan lebih cantik di depan mata daripada kesemua imej pengolokan yang dikongsi Samsung lebih-lebih lagi pada peranti berwarna Phantom Silver. Kami difahamkan hanya warna Phantom Silver dan Phantom Black akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Dengan bonggol logam yang besar, lensa kamera lebih terlindung. Dengan ini masalah permukaan kaca luar pada bonggol yang pecah S20 Ultra tidak berulang. Ramai mungkin menyangka dengan bonggol logam yang besar peranti pastinya tidak seimbang kerana berat pada bahagian atas. Tetapi sebenarnya tidak kerana peranti mempunyai penyebaran berat yang agak seimbang,Perkara negatif pula ialah ia menyebabkan peranti terjongkang-jongkit apabila berada di atas meja.

Seterusnya pada bahagian bawah terdapat kekisi speaker, port USB-C dan talam SIM. Masa untuk bercakap tentang talam SIM. Adakah anda sudah bersedia? Talam SIM ini menyokong dwi SIM bersaiz nano tanpa ruang untuk kad mikro SD. Pada tahun 2021, Samsung merasakan tiba masanya untuk tidak lagi menyokong penambahan storan dalaman.

Adakah ini tindakan yang baik? Anda sahaja boleh menjawab soalan ini. Secara peribadi kami sendiri sudah lima tahun tidak menggunakannya kerana storan kini semakin besar. Di Malaysia storan yang ditawarkan ialah 256 dan 512 GB yang boleh kami katakan boleh bertahan sehingga tiga tahu. Maka ketiadaan slot mikro SD adalah dikesali tetapi mungkin tidak ditangisi.

Masa untuk menyentuh spesifikasi pula. Cip terkini Exynos 2100 dipadankan dengan memori 12/16 GB dan storan sehingga 512GB. Di atas kertas ini ialah kombinasi yang cukup padu kerana Exynos 2100 adalah cip Android paling berkuasa setakat ini berdasarkan ujian sintetik yang telah kami lakukan. Artikel perbandingan cip Exynos 2100 akan kami terbitkan esok untuk memberikan analisa yang lebih mendalam. Buat masa ini yang boleh kami katakan ialah peranti memang terasa pantas dan tiada masalah pemanasan yang ketara ditemui.

Sistem kamera pula menjalani proses perubahan yang drastik berbanding S20 Ultra. Sensor 108MP dipadankan dengan lensa sudut lebar, 12MP dengan lensa ultra sudut lebar, 10 MP dengan lensa telefoto optikal 3X dan 10MP lagi dengan lensa telefoto 10X optikal periskop yang menyokong zum sehingga 100X. Space Zoom masih wujud tetapi dengan sistem Zoom Lock yang menstabilkan imej seakan sebuah tripod. Kesemua ini dapat dilakukan walaupun sensor kamera telefoto tahun ini lebih kecil berbanding S20 Ultra (48MP vs 10MP).

Jika anda ingat kami katakan Space Zoom tahun lalu adalah gimik kerana imej bergoyang-goyang seperti berada di atas dek kapal yang dihentam badai. Tahun ini Zoom Lock memastikan imej adalah lebih stabil (masih lagi bergoyang sebenarnya pada tetapan zum 100X) bagi membolehkan kawasan gambar yang ingin diambil sentiasa di dalam kawasan viewfinder kamera.

Seterusnya kita bergerak pula kepada bateri sebesar 5000 mAh. Ini ialah kapasiti yang sama seperti model tahun lalu. Perubahan hanya dilakukan pada sistem pengecasan kini hanya sehingga 25W dan bukannya 45W seperti pada S20 Ultra. Mengapa pengecasan lebih perlahan digunakan? Ini soalan yang belum sempat kami utarakan kepada wakil Samsung. Teori kami ialah tahun lalu beza waktu pengecasan di antara 25W dan 45W hanyalah 10 minit. Bukanlah perbezaan yang besar maka tidaklah diteruskan.

Pengecasan nirwayar kekal 15W dengan pengesan berbalik peranti lain Wireless PowerShare pula juga kembali tetapi kuasa pengecasannya tidak pula dikongsi. Sebagai kesimpulan pengecasan berwayar S21 Ultra adalah lebih perlahan berbanding S20 Ultra dengan sistem lain kekal sama.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.1, kesemua sistem GPS di muka bumi dan kemampuan kalis air IP68. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G juga disokong tetapi terasa sedikit membazir kerana ia hanya akan dilancarkan pada penghujung 2022 atau awal 2023. Ini membuatkan peranti sudah agak berusia sebelum 5G boleh dinikmati pemilik.

Penggunaan Dan Perisian

Android 11 dipadankan dengan pelancar One UI 3.1. Ini ialah versi pelancar paling terkini yang setakat ini hanya digunakan pada siri S21. Sekilas pandang tidak banyak perbezaan dapat dilihat pada antaramuka One UI 3.1 berbanding One UI 3.0. Rekaannya masih minimalis dengan pilihan warna yang tidak menyakitkan mata. Trend di platform Android sejak dua tahun kebelakangan ini ialah untuk kelihatan seperti Android asli.

Ini mungkin penyebab untuk pertama kalinya pada skrin kiri Home yang selama ini hanya menunjukkan Samsung Daily kini digantikan dengan dua pilihan Google Discovery atau Samsung Free (yang menggantikan Samsung Daily). Google Discovery ialah ciri yang telah lama kami inginkan walaupun seorang peminat peranti Samsung. Samsung Daily tidak sebaik Google Discovery kerana Bixby yang tidak selancar Google Assistant. Peng-Googlelan peranti Samsung sudah dapat dilihat jelas kali ini.

Tetapi ini tidak bermakna Bixby dianaktirikan sepenuhnya. Pembantu maya Samsung ini masih mempunyai hak eksklusif diseru menggunakan butang kuasa. Samsung belum bersedia membenarkan pengguna menyeru Google Assistant terus dengan menekan butang kuasa tahun ini. Mungkin ia akan berlaku tahun depan.

Penambahbaikan kepada Nearby Share turut dilakukan. Apabila dipilih pengguna boleh memilih untuk membuang data meta pada gambar yang ingin dikongsi. Proses membuang data meta adalah semudah menekan butang pilihan sebelum penghantaran Nearby Share dilakukan. Ciri lain yang menarik ialah pengguna boleh mengkustomasi imej latar belakang apabila panggilan diterima dari individu tertentu. Video animasi untuk latar belakang panggilan individu tertentu juga boleh dihasilkan menerusi sistem AR Emoji.

Penggunaan peranti tiada bezanya dengan peranti mercu Samsung yang dilancarkan sebelum ini. Kombinasi pemproses yang berkuasa, saiz RAM yang besar dan skrin 120Hz memberikan pengalaman penggunaan awal yang amat lancar. Kami belum benar-benar mencuba peranti ini secara sepenuhnya tetapi sudah boleh berkongsi markah awal penanda aras Geekbench 5 dan Antutu 3D.

Kesimpulannya? Dalam ujian Geekbench 5, Exynos 2100 mencatatkan 1066/3345 markah berbanding Apple A14 Bionic yang mencatatkan 1598/3971 markah dan Snapdragon 865+ pula menatatkan 1006/3341 markah. Dalam ujian Antutu 3D pula, ia mencatatkan 631,702 markah beranding 667,807 markah (Apple A14 Bionic) dan650,975 markah (Snapdragon 865+). Ini masih lagi ujian awal tetapi nampaknya takhta pemproses terbaik masih lagi di tangan Apple.

Sokongan S Pen

Sokongan S Pen pada peranti ini adalah yang pertama kali dalam sejarah Galaxy S. Untuk memenuhi keperluan pengguna, Samsung menawarkan dua kerangka khas dengan tempat simpanan S Pen secara terbina. S Pen tidak diberikan dengan setiap pembelian S21 Ultra.

Di antara dua kerangka yang kami cuba, kerangka silikon tanpa penutup adalah yang paling selesa digunakan. Ia hanya menambah beberapa milimeter kepada kelebaran peranti dengan tempat simpanan pada bahagian kiri peranti (sama seperti Note20 tahun lalu).

Dua versi S Pen ditawarkan untuk S21 Ultra. Versi pertama adalah lebih panjang dan besar berbanding pada siri Note. Ia Lebih selesa digunakan untuk melakar kerana saiznya yang lebih menyerupai pensel sebenar. Kepekaan 4200 dpi dikekalkan tetapi sokongan bluetooth tidak pula disertakan pada versi ini. Dengan kata lain S Pen S21 Ultra lebih mirip pada Note 8.

Versi kedua ialah S Pen Pro dengan sokongan bluetooth. Oleh itu ciri Air Gesture seperti mengawal kamera dan gestur tanpa sentuhan skrin boleh dilakukan. Ketika sesi awal S Pen Pro tidak diperlihatkan kepada pihak media. Oleh itu kami tidak mengetahui sama ada ia lebih baik ataupun tidak. Yang diketahui adalah ia bersaiz lebih besar berbanding S Pen versi pertama dan akan hanya dijual di tarikh yang belum diumumkan lagi.

Kesimpulan

Samsung Galaxy S21 Ultra berjaya memperbaiki beberapa kekurangan S20 Ultra tahun lalu. Skrin lebih baik, lebih pantas, lebih terang dengan pengimbas cap jari ultrasonik lebih pantas. Pemproses juga lebih pantas dengan penawaran storan asas di Malaysia yang lebih besar. Rekaannya juga kami rasakan menarik kerana berbeza dari peranti lain dengan identiti tersendiri.

Dalam tempoh pendek penggunaan tiada isu besar ditemui dan segalanya berjalan dengan lancar. Tetapi seperti yang kami katakan masih ada isu dengan bonggol yang tinggi serta tiadanya sokongan kad mikro SD.

Namun begitu kami merasakan ia masih lagi permulaan yang baik untuk tahun 2021. Ia adalah peranti mercu pertama untuk tahun 2021 yang tiba ke makmal Amanz. Pengeluar lain perlu bersain dengan penawaran Samsung kerana secara keseluruhan, mereka menawarkan pakej yang cukup lengkap.

Pro

  • Kemasan yang premium. Selesa di dalam tangan walaupun bersaiz besar dan agak berat.
  • Kombinasi pemproses, RAM dan storan yang baik.
  • Skrin yang semakin rata kini menyokong 120Hz pada resolusi tertinggi.
  • Sokongan S Pen buat pertama kali.
  • Pengimbas cap jari bawah skrin lebih besar dan pantas.
  • Bateri yang besar.

Kontra

  • Bonggol kamera masih agak tinggi.
  • Tiada pengecas dan fon telinga dengan pembelian.
  • Hilang pula sokongan kad mikro SD.
  • Pengecasan agak perlahan berbanding pesaing lain.

Samsung turut menawarkan Galaxy SmartTag dan Buds Pro secara percuma dengan pra-tempahan ini. Gunakan kod AMS21VIP ketika pra-tempah untuk turut menerima tambahan Samsung ANC Type-C Earphones secara percuma.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd