Storan Intel Optane, yang menggunakan teknologi NAND 3D XPoint yang dibina bersama-sama dengan Micron boleh dikatakan diantara pilihan storan yang terbaik di dunia. Walaupun begitu, pilihan storan terhad dan tanda harga yang tinggi menyebabkannya tidak begitu popular diantara pengguna-pengguna komputer biasa.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Intel telahpun menghentikan sejumlah besar model-model SSD Intel Optane untuk pengguna mereka, termasuklah Intel Optane Memory M10, 800p, 900p dan 905p.
Ini bukanlah sesuatu yang begitu mengejutkan. Dua tahun yang lalu, Intel telahpun menjual pegangan syarikat IM Flash kepada rakan mereka Micron, dan perniagaan storan mereka sendiri telahpun dijual kepada pembekal cip storan SK Hynix.
Tom’s Hardware melaporkan bahawa untuk pasaran storan ini, Intel akan memfokuskan kepada sektor mesin pelayan yang semakin memerlukan storan pantas dengan lengah-masa rendah.
Untuk sektor pengguna, Intel masih lagi akan mengeluarkan storan Intel Optane H20, iaitu storan SSD yang menggabungkan storan Flash dan Optane untuk mempercepatkan proses pembacaan data perisian dari storan yang tidak bergantung kepada memori komputer.
Intel Optane H20 ini sayangnya hanya ditawarkan untuk komputer-komputer riba yang menggunakan CPU Intel Tiger Lake keatas, dan tidak menyokong jenis-jenis komputer yang lain.