Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa ASUS akan memperkenalkan model peranti pintar gaming ROG Phone terbaru mereka tidak lama lagi.
Terkini, rekaan belakang peranti tersebut telahpun tertiris ke arena web, dimana ia hadir dengan rekaan yang hampir sama seperti ROG Phone 3, tetapi dengan perbezaan yang dapat dilihat.
WHYLAB, seorang peniris teknologi dari China baru-baru ini telah mengatakan bahawa peranti ASUS ROG Phone ini kini sedang melalui piawaian 3C di China, dan selain daripada rekaan yang lebih agresif, model peranti tersebut juga hadir dengan nombor “5”, dimana kini terdapat ura-ura bahawa ASUS akan melangkaui nombor 4 dan menamakan peranti ini sebagai ASUS ROG Phone 5.
Selain daripada itu, ia nampaknya ASUS ROG Phone terbaru ini akan hadir dengan modul tri-kamera dengan resolusi 64MP sama seperti ROG Phone 3 tahun lepas.
Spesifikasi khusus peranti ini tidak disahkan lagi, tetapi ia dijangka akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888 dan akan dilengkapi bateri sebesar 6000mAH.
Menariknya, peranti ROG Phone terbaru ini nampaknya bakal hadir dengan satu butang baru dimana ia lebih mudah untuk pengguna memasuki Game Mode, ataupun mod lewahjam pemprosesan yang terbina sejak peranti ROG Phone yang pertama.
Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah ASUS akan memperkenalkan peranti baru ini.