Cari @ Amanz

Carl Pei, iaitu pengasas bersama OnePlus telah meninggalkan syarikat yang beliau sendiri besarkan ini pada Oktober tahun 2020. Beliau dilaporkan meninggalkan OnePlus kerana ingin membangunkan syarikat baharu, di mana memfokuskan kepada audio dan telah dilabur oleh bapa iPod, Casey Neistat dan ramai lagi.

Masih tidak jelas produk audio apakah yang beliau ingin lancarkan. Dalam temuramah bersama Wired, beliau nyatakan satu produk audio akan tiba tahun ini dan kelak di tahun berikutnya barulah produk perkakasan (fizikal). Dalam satu senarai mencari kerja yang Carl Pei senaraikan, beliau dilihat sedang merekrut pereka antaramuka perisian. Jadi boleh kita beranggapan yang Carl Pei mungkin akan hadir dengan satu aplikasi penalaan atau boleh jadi aplikasi penstriman audio.

Kemudian selepas produk fizikal mereka dilancarkan, produk tersebut akan mempunyai integrasi aplikasi/perkhidmatan ini dan/atau adalah satu ekosistem audio serba baharu. Carl Pei telah menciap di Twitter yang jenama baru beliau atau syarikat ini akan diumumkan pada 27 Januari tidak lama lagi.

Bagi yang tidak tahu, Carl Pei sudah lama meminati bidang audio. Semasa awal OnePlus sedang membangun, beliau banyak memfokuskan audio seperti OnePlus One JBL Edition, OnePlus Icon, kerjasama dengan Master Dynamics dan banyak lagi. Jadi mungkin, idea lama audio untuk OnePlus tidak direalisasikan – syarikat tersendiri ini mungkin akan menjadi titik permulaan baru Carl Pei.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd