Ura-ura dan spekulasi mengenai Samsung Galaxy A52 telah didengari sejak penghujung tahun lalu. Tidak lama kemudian, rekaannya mula diperlihatkan dalam beberapa imej pengolokan awal – di mana, ia mungkin dilengkapi sokongan empat kamera utama bersama skrin hadapan dengan rekaan berlubang.

Dalam perkembangan terkini, Samsung Galaxy A52 dilaporkan sekali lagi tertiris dalam imej pengolokan baharu yang rasmi. Ia dikongsi oleh Evan Blass dan rekaannya kelihatan masih menyerupai imej pengolokan terdahulu – yang mana menampilkan panel hadapan jenis berlubang dan modul kamera segi empat pada panel belakang.

Cuma bezanya, tiada lagi kemasan yang biasanya dapat dilihat pada sejumlah peranti Galaxy A yang lain. Sebaliknya, ia kelihatan seakan hadir dengan kemasan ringkas bersama satu warna yang menyeluruh. Pada masa sama, imej tertiris turut memperlihatkan peranti ini dipercayai hadir dengan pilihan kemasan dalam warna hitam yang mirip seperti Galaxy S21.
Samsung Galaxy A52 dipercayai menggunakan cip Snapdragon 750G untuk versi 5G. Sementara, versi 4G dijangka menggunakan cipset yang berbeza. Seterusnya, ia juga dipercayai dilengkapi RAM sebesar 6GB dan menjalankan sistem operasi Android 11. Buat masa ini, belum diketahui bilakah bilakah ia akan diperkenalkan secara rasmi.