Apple minggu ini menawarkan langganan percuma Apple TV+ kepada pengguna di Malaysia dari bulan Februari 2021 hinggalah Jun 2021. Langkah pemberian langganan percuma sebelum ini ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat dan Eropah.

Sebelum ini langganan percuma AppleTV+ selama setahun diberikan kepada pembeli peranti Apple yang sepatutnya tamat pada November 2020 tetapi telahpun dilanjutkan sebelum ini ke penghujung Januari 2021. Kepada mereka yang telahpun melanggan kepada berkas Apple One di Malaysia, RM19.90 akan dikreditkan kepada akaun mereka setiap bulan sehingga Jun 2021 sebagai bayaran balik. Ini boleh digunakan untuk melakukan pembelian di App Store. Kepada pelanggan yang layak, mesej pengesahan tawaran ini telahpun dihantar ke alamat emel Apple ID yang didaftarkan.
Sebelum ini kami melaporkan 62% pelanggan Apple TV+ pada waktu ini terdiri daripada pelanggan yang menerima pelan percuma selepas pembelian peranti Apple.