Cari @ Amanz

Sewaktu pengenalan siri Oppo Reno5 untuk pasaran tempatan – terdapat dua model berbeza yang telah ditawarkan oleh Oppo untuk pengguna di Malaysia. Model berkenaan terdiri dengan Oppo Reno5 dan Oppo Reno5 Pro. Jika dalam beberapa artikel dan video sebelum ini, kami telah berkongsi mengenai Oppo Reno5. Artikel kali ini, akan berfokus kepada Oppo Reno5 Pro pula.

Paparan Hadapan Oppo Reno5 Pro

Boleh dikatakan, kedua-dua peranti pintar ini sebenarnya berkongsi sejumlah perkara yang sama. Terutamanya, dari segi rekaan luaran peranti – yang mana sekali imbas, kedua-dua model ini sememangnya nampak serupa. Tetapi, hakikatnya tidak. Sebabnya, masih ada perbezaan. Bahkan, binaan dan perkakasan dalamannya juga mempunyai sejumlah  naik taraf baharu berbanding versi standard.

Jadi, apa agaknya yang dibawakan oleh Oppo Reno5 Pro ini? Kami akan menjawab setiap satu daripadanya dalam artikel pandang pertama ini. Tapi, mesra diingatkan. Disebabkan ini adalah artikel pandang pertama. Makanya, penggunaan peranti mungkin agak terhad dan kami akan berkongsi dengan lebih lanjut pada ulasan penuh kelak.


Spesifikasi Ringkas Peranti:

Oppo Reno5
JenisPeranti Pintar
Paparan6.5-inci FHD+ Super AMOLED, 90Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 1000+ (7nm)
Cip4 x 2.6 GHz Cortex-A77
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM12GB
Muatan Dalaman256GB (UFS2.1)
Kamera Utama64 MP ( f/1.7 ) – (Utama)
8 MP ( f/2.2 ) – (Sudut-Lebar)
2 MP ( f/2.4 ) – (Makro)
2 MP ( f/2.4 ) – (Mono)
Kamera Depan32 MP (f/2.4)
Bateri4350mAh + 65W SuperVOOC2.0
Sim / TelefoniNano SIM + Nano SIM
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah
Harga JualanRM2,599

Rekaan:

Sebelum kita pergi lebih jauh. Kami akan bercerita serba sedikit dahulu berkaitan aksesori yang disertakan dalam kotak pembelian Oppo Reno5 Pro. Antaranya aksesori yang bakal anda terima adalah – kepala pengecas, kabel sambungan USB-C, kerangka silikon dan fon telinga dengan sambungan USB-C. Mengapa agaknya fon telinga yang disertakan mempunyai sambungan USB-C? Kami akan menjawabnya dalam beberapa perenggan seterusnya.

Aksesori Di Dalam Kotak

Kalau anda perasan, Oppo Reno5 Pro masih mengekalkan identiti peranti Reno itu sendiri. Oppo Reno5 Pro ini menggunakan paparan jenis melengkung dengan skrin 3D sama seperti Oppo Reno4 Pro tahun lalu. Skrin ini dilihat melengkung pada bahagian sisi kiri dan juga kanan peranti. Kiranya, kalau bercakap soal keselesaan. Kami akui, ia sememangnya selesa apabila berada dalam genggaman. Walaupun, ketika menggunakannya dengan sebelah tangan juga tidak mendatangkan sebarang masalah.

Kemudian, Oppo Reno5 Pro juga merupakan sebuah peranti yang nipis dan ringan. Beratnya hanya sekitar 173 gram sahaja. Jadinya, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna. Malah, penggunaan peranti untuk satu jangka masa yang lama juga tidak mengakibatkan tangan terasa lenguh. Pada masa sama, binaannya terasa cukup baik dan kukuh.

Oppo Reno5 Pro Dalam Warna Starry Black

Seperti Oppo Reno5, versi pro ini juga dilengkapi dengan dua pilihan warna yang sama. Pilihan warna yang disediakan ini nampak menarik. Lebih-lebih lagi untuk warna Galactic Silver. Apa yang membuatkan warna ini mempunyai kelebihan istimewa adalah ia menggunakan proses ‘Diamond Spectrum’ untuk membuatkan panel belakang matte ini menjadi kemasan berkilauan. Kemudian, pantulan warna berbeza turut kelihatan mengikut sudut pandangan. Kita juga boleh kata warna sebegini mampu untuk menyerlahkan lagi mood riang si pemakainya.

Pilihan seterusnya adalah Starry Black – seperti unit peranti pintar yang kami terima. Lihat sahaja di sini, rona hitam dilihat menghiasi secara menyeluruh pada panel belakangnya. Mungkin kemasannya nampak ringkas sahaja. Tetapi, tetap elegan dan mudah untuk menyembunyikan kesan kotoran. Kebiasaannya, kemasan dengan warna sebegini sering menjadi pilihan meraka yang menggemari kemasan warna gelap untuk nampak unik.

Paparan Hadapan Berlubang Untuk Lensa Swafoto Tunggal

Untuk spesifikasi skrin, Oppo Reno5 Pro menggunakan saiz skrin 6.5-inci Super AMOLED dengan resolusi FHD+. Tidak ketinggalan, ia juga masih mengekalkan rekaan skrin berlubang seperti Oppo Reno5, bersama sokongan lensa swafoto tunggal. Tidak ketinggalan, skrinnya juga menyokong kadar segar semula 90Hz dan mempunyai sokongan untuk HDR10+. Dalam pada itu, binaan untuk bezel juga nampak seimbang. Boleh dikatakan, langsung tidak mendatangkan masalah untuk penggunaan pada paparan ini.

Pada sisi kanan peranti terdapatnya butang kuasa. Jika diperhatikan padanya terdapat hiasan bewarna hijau yang biasanya kita dapat lihat pada peranti di bawah siri Reno. Kemudian, sisi kiri pula adanya butang laras suara. Kesemua butang yang kami sebutkan ini mempunyai binaan yang baik dan kukuh.

Binaan Pada Bahagian Sisi Peranti

Bergerak ke bahagian atas peranti. tiada sebarang port atau sambungan yang ditemui. Sebaliknya, hanya terdapat satu mikrofon bersama tulisan – “Design for Reno” – yang memberi gambaran ia adalah eksklusif untuk peranti Reno sahaja. Akhir sekali, ruang talam SIM diletakkan pada bahagian bawah bersama-sama port sambugan USB-C dan pembesar suara.

Untuk makluman semua, Oppo Reno5 Pro tidak didatangkan dengan bicu audio 3.5mm khusus. Disebabkan itulah, Oppo menyertakan fon telinga bersama sambungan USB-C di dalam kotak pembelian.


Antaramuka & pengalaman penggunaan :

Untuk antaramuka, Oppo Reno5 Pro menggunakan ColorOS 11.1 yang dibina berasaskan Android 11 terkini. Melaluinya, pelbagai penambahbaikan dan ciri mesra pengguna yang boleh ditemui. Bukan itu sahaja, cubaan awal kami mendapati pengalaman penggunaannya juga dilihat memudahkan ramai pihak. Dalam erti kata lain, antaramukanya di sini mudah sahaja untuk difahami dan diperlajari. Peralihan animasi juga kelihatan lancar dan diintegrasi dengan baik – sekaligus menjadikan pengalaman penggunaan juga menjadi lebih baik.

Melaluinya juga, ia mempunyai sokongan untuk multi-tugasan yang baik bersama kebolehan kostumasi menarik. Mod tema gelap dan fungsi Always-On-Display kini boleh diubahsuai. Kemudian, ciri Flexdrop juga berguna bagi membolehkan penggunaan peranti lebih cekap – di mana, pelbagai aplikasi boleh dilancarkan dengan cepat menerusi tetingkap terapung. Seterusnya, terdapat juga kebolehan untuk menterjemah teks secara terus daripada tangkap layar (screenshot) menerusi fungsi ‘Three Finger Translate with Google Lens”.  Ciri menarik lain termasuklah – fungsi keselamatan yang ditambahbaik dan mod permua yang dinaiktaraf.

Markah Penanda Aras Peranti

Sebelum terlupa, Oppo Reno5 Pro menggunakan cip pemproses MediaTek Dimensity 1000+ bersama sokongan memori besar 12GB RAM dan ruang storan 256GB. Untuk makluman semua, Oppo Reno5 Pro tidak didatangkan dengan ruangan untuk mikroSD. Jadinya, keadaan ini sedikit menyukarkan bagi sesetangah pihak yang mahukan peranti untuk penggunaan dwi-SIM secara serentak dan ruang storan tambahan.


Kamera

Tetapan kamera utama Oppo Reno5 Pro terdiri dengan sokongan sensor 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (Ultra-Lebar) + 2-Megapixel (Makro) + 2-Megapixel (Mono). Sementara itu, kamera swafoto pula sebesar 32-Megapixel. Melaluinya, pelbagai karya kreatif boleh dihasilkan. Ia berikutan terdapatnya sejumlah ciri dan fungsi kamera menarik yang boleh ditemui padanya.

Kamera Utama Peranti

Antaramuka kamera juga mudah difahami dan tiada langsung masalah untuk mengakses setiap mod kamera yang tersedia. Bukan itu sahaja, teknologi AI juga digunakan pada lensa bertujuan mengesan subjek secara automatik. Antara fungsi utama lain yang menarik pada kamera termasuklah: –

1) Monochrome Video – Ciri ini hadir dengan tiga penuras (filter) berbeza yang boleh diakses menerusi fungsi video. Ia akan memfokuskan kepada 3 warna utama seperti – merah, hijau dan biru. Kemudiannya, latar video akan menjadi hitam dan putih.

Monochrome Video – Warna Hijau Sebagai Fokus Utama

2) AI Highlight Video – Ia menggunakan algoritma yang disesuaikan secara automatik berdasarkan keadaan sekeliling. Kemudiannya, tingkatkan kualiti rakaman video menjadi lebih baik untuj hasil memuaskan.

3) Dual-View Video (Video Dwi-Pandangan) Ciri yang membolehkan video dirakam menggunakan kamera hadapan dan kamera belakang secara serentak. Terdapat tiga jenis template berbeza yang boleh dipilih iaitu – Split, Round dan Rectangle.

4) AI Color Portrait – Membolehkan latar belakang sesuatu gambar menjadi hitam dan putih. Tetapi, subjek akan dikekalkan pada warna asal. Ia boleh dikatakan fungsi yang menarik untuk menghasilkan gambar yang nampak berbeza.

5)  Ultra Steady Video 3.0 Membolehkan pengguna membuat rakaman video dengan stabil – seakan dirakam menggunakan gimbal. Mod ini terbahagi kepada tiga iaitu – a) Front Steady Video (kamera hadapan), b) Ultra Steady Video (kamera utama), c) Ultra Steady Video Pro (kamera ultra-lebar).

Antaramuka Kamera Peranti

7) Ultra-Clear 108MP Image – Ciri yang memastikan setiap gambar diambil adalah berkualiti tinggi. Pada masa sama, gambar tersebut juga tidak akan pecah meskipun ketika dizum.

7) AI Scene Enchancement – Kamera ini juga membolehkan pengguna untuk membuat pengecaman subjek pada gambar sehingga 22 kategori berbeza termasuk – manusia, haiwan, tumbuhan, makanan dan sebagainya.

8) Ultra Night Selfie Mode, Ultra Dark Mode & Night Flare Portrait – Ketiga-tiga fungsi ini bersesuaian untuk hasil penggambaran malam. Ia akan menjadikan gambar menjadi lebih terang walaupun diambil dalam keadaan malap. Kemudian, Night Flare Portrait pula mampu menjadikan subjek di dalam gambar menyerlah bersama kesan bokeh di belakang.


Kesimpulan :

Penambahan Oppo Reno5 Pro ke dalam keluarga Reno dilihat hadir dengan sejumlah penawaran yang menarik. Melaluinya peranti ini dilengkapi dengan beberapa perkakasan dan perisian terkini. Bukan itu sahaja, penawaran pada kameranya turut bantu serlahkan daya kreativiti dan imaginasi pengguna.

Bagi yang berminat, Oppo Reno5 Pro dijual pada harga RM2,599. Sebagai alternatif , anda juga mempunyai satu lagi pilihan iaitu Oppo Reno5 yang ditawarkan pada RM1,899.

Pro

  • Kemasan warna serba baharu & binaan peranti yang baik.
  • Kombinasi RAM & storan yang memadai.
  • Skrin melengkung dengan kadar segar semula 90Hz.
  • Pengecasan pantas 65W.

Kontra

  • Bonggol kamera agak tinggi.
  • Tiada bicu audio 3.5mm khusus.
  • Tiada sokongan kad mikro SD.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd