Huawei HarmonyOS Disahkan Sekadar Android Yang Diubahsuai

Diterbitkan pada Feb 3, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selepas pelbagai halangan perdagangan dikenakan ke atas Huawei, mereka nekad tidak akan kembali ke GMS. Sistem Huawei Mobile Services dibangunkan bagi mengisi kekosongan diikuti pula oleh pengumuman sistem operasi baru kendiri yang diberi nama HarmonyOS (Hongmeng OS dalam bahasa Mandarin). Terdapat banyak misteri yang belum terjawab mengenai HarmonyOS kerana setakat ini hanya diberikan akses kepada pengguna di China dan segelintir pembangun.

Antara soalan paling besar ialah bagaimana Huawei membangunkan sistem operasi baru dalam masa yang sangat singkat? Persoalan ini terjawab menerusi artikel yang diterbitkan oleh Arstechnica malam semalam. Jawapan ringkasnya ialah HarmonyOS bukanlah sistem operasi yang dibangunkan dari bawah 100% oleh Huawei tetapi hanyalah Android 10 yang diubahsuai dengan lapisan antaramuka EMUI.

Arstechnica mendapat akses kepada kit pembangun HarmonyOS yang memerlukan salinan kad kredit dan pasport pembangun dihantar kepada Huawei untuk pengesahan identiti. Selepas kit diakses, mereka mendapati HarmonyOS menggunakan pusat sumber dan sistem Android pada lapisan bawah dengan hanya perubahan pada nama dilakukan. Malahan Arstechnica berkata tiada beza langsung antara HarmonyOS Beta 2 dengan Android 10 di peringkat dasar.

Sebagai konklusi, HarmonyOS adalah sama seperti Fire OS yang digunakan oleh Amazon dan Nokia X oleh Nokia suatu ketika dahulu. Ia sebuah sistem operasi berasaskan Android 10 dengan salinan kulit dan komponen tambahan dari Huawei. Hakikat ini boleh dilihat dari sudut negatif dan positif. Positif kerana aplikasi Android boleh dijalankan pada HarmonyOS tanpa isu. Masalah tiada aplikasi sekiranya peranti dipasarkan di Malaysia tidak akan berlaku.

Negatifnya pula ialah Huawei tidak berterus terang bahawa HarmonyOS bukan sebuah sistem operasi yang dibangunkan sendiri 100% seperti yang diuar-uarkan selama ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami