Clubhouse Akhirnya Dihalang Di China

Clubhouse Akhirnya Dihalang Di China

Diterbitkan pada Feb 9, 2021 oleh .

Media sosial yang paling eksklusif pada waktu ini ialah Clubhouse kerana ia memerlukan jemputan dan ditawarkan pada platform iOS sahaja. Apa yang menarik ialah ia tular di China, sebuah negara yang terkenal dengan kerajaannya yang gemar menghalang kebebasan di media sosial. Kini menurut laporan TechCrynch, Clubhouse akhirnya telah dihalang akses di China.

Halangan dilakukan menggunakan alasan yang sama seperti Facebook dan Twitter dihalang ialah mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak dibenarkan kerajaan. Sejak diperkenalkan di China, ia menjadi medan perbincangan mengena hak Taiwan untuk merdeka, layanan buruk Beijing ke atas warga Uighur, Hong Kong dan tragedi Dataran Tiananmen.

Aplikasi tidak lagi berfungsi sejak 7 petang semalam. Ia hanya boleh diakses sekiranya pengguna menggunakan perkhidmatan VPN. Aplikasinya pula telah ditarik sejak Oktober tahun lalu dari App Store.

Halangan pelbagai media sosial ialah topik yang hangat tahun ini. Kita melihat akaun Donald Trump dihalang kerana kandungan menghasut dan membahayakan keselamatan negara. Di India Twitter diugut kerana enggan menghalang kandungan yang menyokong protes petani manakala di Myanmar dihalang kerana menggalakkan rakyat untuk menentang kudeta.


Paling Popular