Hyundai mungkin telah memberhentikan perbincangan dengan Apple untuk membangunkan kereta elektrik secara usaha sama. Tetapi ini tidak bermakna mereka kini menanggung kerugian. Sebaliknya Hyundai baik-baik sahaja kerana teknologi robotik mereka masih beberapa tahun cahaya di hadapan Apple. Terkini robot TIGER (Transforming Intelligent Ground Excursion Robot) telah diumumkan menerusi New Horizons Studios milik mereka.
TIGER ialah robot empat roda dan berkaki yang mirip dengan Elevate yang diperlihatkan sebelum ini. Jika Elevate kelihatan seperti Transformers, TIGER ialah robot yang berskala lebih kecil tanpa kemampuan membawa sebarang penumpang. Sebaliknya terdapat ruang kargo yang membolehkannya menjadi robot penghantaran bungkusan di kawasan terpencil atau dilengkapi modul sensor untuk melakukan pemantau di kawasan dilanda bencana misalnya.
Seperti Elevate, TIGER boleh bergerak menggunakan roda atau merangkap seperti biawak dengan bahagian kaki yang boleh diubah ketinggiannya. Hyundai membayangkan TIGER digunakan dengan sebuah dron untuk melakukan penghantaran bungkusan. Majoriti perjalanan dilakukan di udara dengan TIGER melengkapkan perjalanan kilometer terakhir.
Harapan Hyundai untuk TIGER adalah agak tinggi dengan impian menggunakannya untuk mengembara di permukaan bulan di masa hadapan. Sejak mengambil alih Boston Dynamics, Hyundai mempertingkatkan lagi kemampuan robotik mereka pula. Siapa sangka fiksyen masa depan robot yang selama ini diramalkan milik Jepun kini lebih memihak kepada jiran mereka Korea Selatan.