Dengan pelancaran ZTE Axon 20 5G tahun lalu, ramai meramalkan era kamera swafoto yang besar, penggunaan takuk, lubang kamera dan kamera pop naik akan berakhir. Peranti tersebut meletakkan kamera swafoto di bawah skrin sekaligus merealisasikan impian peranti yang hampir keseluruhannya adalah skrin.

Tetapi menurut laporan LetsGoDigital, OnePlus masih belum bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada kamera swafoto yang dapat dilihat. Sebaliknya mereka mempatenkan rekaan kamera swafoto yang bersaiz kecil sehingga boleh disorokkan pada bezel skrin yang nipis. Dokumen paten mereka telah diterbitkan oleh WIPO pada 4 Februari lalu.
Saiz lensa kamera memang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan yang digunakan pada kesemua telefon pintar di pasaran sekarang. Sebab mengapa rekaan ini dipatenkan mungkin berkait rapat dengan isu yang ada dengan kamera bawah skrin. Laporan awal menunjukkan kualiti gambar masih tidak sebaik kamera yang tidak diletakkan di belakang skrin.
Adakah paten ini akan digunakan masih lagi misteri. Sebelum ini OnePlus memperlihatkan konsep telefon yang kamera belakang boleh disorokkan menggunakan kaca elektrokromik tetapi sehingga ini produk sebenar tidak dijual.