Cari @ Amanz

Samsung dalam perancangan untuk pengenalan beberapa model baharu di bawah siri Galaxy A – salah satu daripadanya adalah Samsung Galaxy A72. Peranti ini juga dikhabarkan hadir dengan sokongan skrin kadar segar semula tinggi mencecah 90Hz.

Dalam perkembangan terkini, spesifikasi penuh peranti berkenaan didapati tertiris ke arena web. Bukan itu sahaja, imej pengolokan rasminya turut sama dikongsi – yang mana rekaannya dilihat mirip dengan Samsung Galaxy A52. Melaluinya, ia turut memperlihatkan tiada lagi kemasan yang biasanya dapat dilihat pada sejumlah peranti Galaxy A sebelum ini.

Tidak seperti pendahulunya, Samsung Galaxy A72 dipercayai hanya tersedia dalam versi 4G sahaja. Ia dipercayai mempunyai paparan Super AMOLED bersaiz 6.7-inci dengan resolusi 2400×1080 piksel. Seterusnya, ia juga hadir dengan paparan berlubang pada bahagian tengah dan menyokong pengimbas cap jari pada skrin.

Di samping itu, ia juga dikhabarkan dilengkapi cip Snapdragon 720G, pilihan memori sehingga 8GB, ruang storan sehingga 256GB dan bateri berkapasiti 5000mAh dengan port USB-C. Ia juga dipercayai dilengkapi sokongan empat kamera di belakang dengan sensor utama 64-Megapixel, sementara kamera hadapan pula sebesar 32-Megapixel.

Spesifikasi lain termasuklah – bicu audio 3.5mm, pelindungan kalis air IP67, sokongan slot microSD, sistem operasi Android 11 dan menggunakan binaan berasaskan plastik. Buat masa ini, masih tidak diketahui bilakah peranti ini akan dilancarkan secara rasmi. Akan tetapi, menerusi perkongsian seperti ini kita boleh menyasarkan peranti ini bakal tiba tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd