Kafe Siber Di Vietnam Menggunakan Komputer-Komputer Mereka Untuk Melombong Kriptowang

Diterbitkan pada Feb 16, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Konsep kafe siber dipopularkan pada penghujung era 1990-an dan awal 2000 kerana pada waktu tersebut, sambungan internet masih lagi terhad, dan hadir dengan harga yang boleh dikatakan agak mahal.

Dengan kemajuan teknologi, boleh dikatakan semua orang kini mempunyai sambungan ke rangkaian web di telapak tangan mereka, dan oleh kerana itu, populariti kafe siber dilihat semakin merudum.

Sebuah kafe siber di Vietnam telah mengambil langkah yang jauh lebih drastik untuk mengekalkan kelangsungan hidup mereka melalui perlombongan kriptowang.

Kafe siber tersebut, yang dinamakan Star Computer telah membeli sejumlah besar kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 dan menggunakannya untuk tujuan tersebut, dan bukan untuk membekalkan perkhidmatan gaming untuk orang ramai.

Menurut pemilik kafe siber tersebut, melombong kriptowang menggunakan komputer-komputer sedia ada mereka adalah jauh lebih menguntungkan berbanding dengan model bisnes mereka sebelum ini.

Lebih menarik lagi, pemilik tersebut juga mengatakan bahawa pemilik kafe siber lain boleh menghubunginya secara percuma untuk mendapatkan bantuan membangunkan operasi tersebut.

Kebelakangan ini, kami ada melaporkan mengenai bagaimana sejumlah orang mencuri bekalan elektrik untuk melombong kriptowang di Perak dan juga Pahang. Diharap mereka yang melakukan kegiatan ini tidak terdesak untuk mendapatkan keuntungan melampau sehingga melakukan kesalahan seperti ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami