Carian
Rekaan Sebenar Realme Narzo 30 Pro Kini Dikongsi
February 17, 2021 Amy Maizuraa

Realme Narzo 30 merupakan peranti terkini daripada Realme di bawah siri Narzo. Jenama berkenaan dijangka memperkenalkan sekurang-kurangnya dua buah model berbeza – iaitu Realme Narzo 30 Pro dan Realme Narzo 30A. Realme Narzo 30 Pro dikhabarkan hadir dengan sokongan rangkaian 5G terbina dan harganya akan lebih mampu milik.

Terkini, rekaan sebenarnya juga telah mula diperlihatkan menerusi imej yang dimuat naik oleh pihak Realme India di Twitter, sebentar tadi. Imej berkenaan memperlihatkan CEO Realme iaitu Madhav Sheth memegang peranti yang dipercayai merupakan Realme Narzo 30 Pro.

Peranti berkenaan dilihat menggunakan modul kamera berbentuk segi empat bersama sistem tri-kamera utama pada panel belakang. Jika diperhatikan dengan teliti, rekaan modul pada kameranya ini kelihatan sama dengan Realme X7 Pro sebelum ini. Namun begitu, ciapan tersebut tidak pula mendedahkan konfigurasi kameranya.

Seterusnya, tatahias pada panel belakanganya juga lebih minimalis bersama kemasan yang berkilat. Kemudian, terdapat juga penjenamaan Narzo pada panel belakangnya yang ditempatkan pada bahagian bawah.

Buat masa ini, tidak banyak maklumat berkaitan peranti berkenaan yang diketahui – termasuklah tarikh untuk pelancaran rasmi. Sungguhpun begitu, Realme Narzo 30 Pro dipercayai menggunakan cip MediaTek Dimensity 800U, skrin dengan kadar segar semula tinggi 120Hz dan pengimbas cap jari di sisi.

Sekadar selingan, Realme X7 Pro telah ditawarkan untuk pengguna di Malaysia – berharga RM1999. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi kedai atas talian Realme di Shopee.

Komen