Cari @ Amanz

Google Glasses memulakan eksperimentasi dunia maya yang digabungkan dengan dunia sebenar menerusi teknologi terimbuh (AR). Setelah bertahun-tahun tidak dikemaskini kerana teknologi yang belum matang serta tiada penggunaan sebenar, kini minat untuk menghasilkan semula kata mata AR kini kembali aktif dengan penglibatan Apple dan Facebook.

Hari ini dua video konsep Samsung AR Glasses dan Samsung Glasses Lite telah tertiris ke arena web menerusi ciapan dari @_h0X0d_ menunjukkan visi mereka tentang apa yang boleh dilakukan. Dapat dilihat kaca mata digunakan sebagai skrin untuk permainan video dengan sokongan alat kawalan permainan.

Menonton video juga dapat dilakukan dengan skrin maya tergantung di udara. Integrasi dengan jam tangan pintar turut diperlihatkan dengan video dijeda menggunakan peranti boleh-pakai. Seterusnya sokongan DeX turut disertakan apabila ditambat pada papan kekunci fizikal.

Akhir sekali Samsung AR Glasses boleh digunakan untuk melihat model senibina secara tiga dimensi yang kemudiannya dibesarkan untuk melihatnya pada skala sebenar. Pada waktu yang sama panggilan hologram boleh dilakukan dengan insan yang dihubungi bergerak di dalam model 3D sekali dengan pengguna lain.

Video konsep ini memperlihatkan beberapa idea yang menarik. Bilakan Samsung AR Glasses akan menjadi realiti masih lagi misteri. Lima tahun lalu apabila video konsep Project Valley diperlihatkan ramai merasakan ia mustahil tetapi kini Galaxy Fold ialah produk sebenar yang boleh dibeli orang ramai.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd