Cari @ Amanz

Oppo Memperlihatkan Sistem Pengecasan Nirwayar Jarak Jauh Di MWC 2021

Link Copied!

Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2021 yang berlangsung di Shanghai ketika ini – menyaksikan Oppo hadir dengan beberapa inovasi teknologi pengecasan menarik dan produk 5G generasi akan datang. Salah satu daripadanya ialah sistem pengecasan nirwayar jarak jauh dengan output sehingga 7.5W. Menurut Oppo, sistem pengecasan ini boleh mengecas peranti secara nirwayar dan nirsentuh sehingga jarak 10 meter.

Keupayaannya diperlihatkan dalam video ringkas dengan menggunakan peranti konsep Oppo X 2021 . Di mana, ia akan terus mengecas sebaik sahaja peranti berada dalam jarak 10 meter daripada tempat pengecasan. Untuk makluman, Oppo X 2021 merupakan peranti konsep dengan skrin boleh gulung. Skrin ini boleh berubah daripada saiz 6.7-inci kepada 7.4-inci apabila ditarik daripada bahagian kanan.

Pada masa sama, mereka turut hadir dengan beberapa lagi teknologi pengecasan pantas – seperti 125W Flash Charge yang boleh mengecas penuh peranti dengan bateri 4000mAh dalam hanya 20 minit. Oppo mengesahkan bahawa pengecasan ini adalah selamat dengan sejumlah sistem keselamatan terbina bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini. Seterusnya, pengecasan nirwayar 65W AirVOOC yang turut boleh mengecas penuh kapasiti bateri yang sama dalam hanya 30 minit.

Untuk produk 5G akan datang pula, mereka telah memperlihatkan penghala 5G untuk rumah iaitu Oppo 5G CPE Omni – yang bukan sahaja menyokong rangkaian 5G gelombang milimeter dan sub-6GHz secara serentak. Tetapi, turut menawarkan pengguna pengalaman sambungan 5G yang stabil menerusi fungsi yang dipanggil O-Motion 5G 360 Degree Antennas.

Pada masa sama, mereka turut mengumumkan kerjasama erat dengan beberapa rakan kongsi untuk projek ‘The Flash Initiative’ – yang merupakan salah satu projek untuk inovasi pengecasan pantas mereka. Rakan kongsi berkenaan termasuk – FAW-Volkswagen, Anker dan NXP Semiconductors. Melaluinya, Oppo mempunyai perancangan untuk memperluakan lagi penawaran inovasi teknologi pengecasan pantasnya ke lebih banyak segmen termasuk automotif dan pembuatan cip.

Kalau anda perasan konsep sistem pengecasan nirwayar jarak jauh oleh Oppo ini – dilihat mirip dengan teknologi Mi Air Charging sebelum ini. Di mana, ia membenarkan peranti untuk terus dicas seakan magis. Seterusnya, Oppo juga sememangnya terkenal dengan pengenalan produk konsep ketika di acara MWC – misalnya peranti dengan kamera di bawah skrin sebelum ini.

Tidak lama kemudian, ia menjadi realiti. Cuma bukannya, peranti daripada Oppo sebaliknya ZTE menerusi Axon 20 5G. Jadi tidak mustahil, teknologi sistem pengecasan nirwayar jarak jauh ini turut akan menjadi realiti dalam masa terdekat kelak.


Komen ()