Red Magic Watch Diperlihatkan Menerusi Poster Rasmi

Diterbitkan pada Feb 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain daripada peranti memfokuskan permua, Nubia juga salah satu pengeluar yang sedia hadir dengan penawaran sejumlah peranti boleh-pakai – antaranya seperti, Nubia Watch dan Nubia Alpha. Seperti yang kita tahu, Nubia juga kini dalam perancangan untuk hadir dengan satu lagi peranti boleh-pakai baharu – yang akan dikenali sebagai Red Magic Watch kelak. Ia sebelum ini telah tertiris melalui laman FCC dan kali ini diperlihatkan dalam poster rasmi pula.

Poster tersebut memperlihat rekaan dan sedikit sebanyak spesifikasi pada jam tangan ini. Ia dikatakan hadir dengan paparan bersaiz 1.39-inci dengan panel jenis AMOLED dengan resolusi 454 X 454 piksel – di mana merupakan resolusi standard yang biasa ditemui pada sesebuah jam tangan pintar.

Kemudian, ia juga dilihat menggunakan kerangka berasaskan logam bersama tali yang dipercayai diperbuat daripada silikon. Turut kelihatan, terdapatnya dua butang fizikal pada sisi muka jam dan salah satu daripadanya terdapat kemasan dengan garisan berwarna merah.

Dalam perkembangan berbeza, jam tangan ini turut didakwa telah tertiris dalam imej sebenar. Rekaan dilihat sepenuhnya sama seperti yang kelihatan pada poster rasmi. Buat masa ini, masih tidak diketahui bilakah jam tangan ini akan dilancarkan secara rasmi. Tetapi, kita boleh menyasarkan ia mungkin akan dilancarkan seiring dengan Nubia Red Magic 6 pada 4 Mac kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami