Nampaknya bukan sahaja Asus ROG Phone 5, bahkan kita juga bakal menyaksikan pengenalan peranti gaming baharu daripada Nubia pada bulan Mac kelak. Peranti berkenaan adalah Nubia Red Magic 6 dan ia bakal diperkenalkan secara rasmi pada 4 Mac 2021.

Perkara ini dikongsi oleh pihak Nubia menerusi satu poster pelancaran yang dimuat naik menerusi laman Weibo. Entri dan poster berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut – termasuklah dari segi rekaan atau spesifikasi dalaman pada peranti.
Namun, ia memberi gambaran kasar bahawa peranti berkenaan akan memfokuskan kepada pengalaman penggunaan lebih lancar dengan empat teknologi serba baharu – yang berkemungkinan besar berkaitan sistem pengecasan pantas dan teknologi penyejukan serba baharu.
Tambahan pula, sebelum ini terdapat laporan yang mendakwa peranti ini akan mempunyai sistem penyejukan dengan rekaan kipas – untuk pengalaman penggunaan lebih baik tanpa sebarang masalah pemanasan.

Menurut spekulasi awal, Nubia Red Magic 6 dipercayai hadir dengan skrin bersama kadar segar semula 144Hz, cip Snapdragon 888 dan bateri 4500mAh dengan pengecasan 120W. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut akan terjawab ketika pelancaran rasmi kelak. Kekal dengan kami di Amanz.