Siri Redmi Note 10 Sah Menggunakan Skrin AMOLED Dengan Kadar Segar Semula 120Hz

Diterbitkan pada Mac 3, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri Redmi Note 10 akan dilancarkan secara global pada 4 Mac ini. Maklumat tertiris mengenainya kini semakin menular di media sosial. Kebanyakannya dilihat memberi suatu gambaran yang baik mengenai spesifikasi padanya. Salah satu daripadanya, ia disahkan hadir dengan skrin AMOLED yang menyokong kadar segar semula 120Hz.

Ini sekaligus menjadikan ia sebagai peranti Redmi Note pertama yang hadir dengan spesifikasi berkenaan. Meskipun begitu, butiran lanjut mengenai model manakah di bawah siri ini yang akan dilengkapi spesifikasi berkenaan masih belum diketahui. Menurut spekulasi awal, peranti berkenaan berkemungkinan adalah Redmi Note 10 Pro

Ia berikutan tularnya sebuah video promosi yang memaparkan rekaan dan spesifikasi penuh untuk Redmi Note 10 Pro. Sumber mengatakan ia dimuat naik oleh pihak Xiaomi UK menerusi Youtube. Antara spesifikasi lain pada peranti yang didedahkan – termasuklah sokongan pembesar suara stereo, pengecasan pantas 33W, kamera utama 108-Megapixel dan beberapa pilihan kemasan seperti warna jingga dan biru. Namun begitu, hasil tinjauan kami mendapati video berkenaan telah diturunkan daripada laman tersebut.

Kemudian, terdapat juga imej tular yang memperlihatkan Redmi Note 10 turut menggunakan skrin AMOLED bersain 6.43-inci. Ia berikutan tularnya satu imej yang memperlihatkan peranti berkenaan bersama kotak pembungkusannya. Namun, sokongan untuk kadar segar semula pada skrin masih tidak diketahui. Selain itu, ia turut mendedahkan sejumlah spesifikasi lain pada peranti – seperti dijana cip Snapdragon 678, kamera utama 48-Megapixel dan bateri 5000mAh bersama pengecasan 33W.

Dengan adanya kesemua ketirisan seperti ini – ia sedikit sebanyak memberi gambaran awal mengenai peranti-peranti berkenaan. Seperti biasa, kekal setia dengan kami di Amanz untuk kemaskini selanjutnya.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami