Carian
SpaceX Starship Berjaya Melakukan Ujian Pendaratan Tetapi Kemudiannya Meletup
March 4, 2021 Effi Saharudin

Dalam dua ujian terdahulu, kapal angkasa Starship berjaya melakukan ujian penerbangan sehingga ketinggian 10 kilometer sebelum melakukan penerbangan mendatar. Tetapi kemudian kedua-duanya meletup ketika dalam percubaan untuk mendarat semula secara menegak.

Pagi ini Starship SN10 diuji dan akhirnya berjaya melakukan pendaratan secara menegak di pad pendaratan Boca Chica, Texas. Malang sekali beberapa minit selepas selamat mendarat, Starship SN10 tiba-tiba meletup. Semasa mendarat kebakaran dapat dilihat pada bahagian buritan kapal. Api cuba dipadamkan dari jarak jauh tetapi kerosakan yang berlaku terlalu serius sehingga ia meletup.

Starship yang diuji pada waktu ialah pada skala kecil berbanding yang akan digunakan untuk ke Bulan, Marikh dan pengangkutan pantas di permukaan bumi. Walaupun misi hari ini masih belum mencapai tahap kejayaan yang diinginkan ia masih dianggap sebuah kejayaan kerana sekurang-kurangnya pendaratan dapat dilakukan.

Ia meletakkan SpaceX selangkah lebih hampir untuk menghantar 12 angkasawan untuk mengelilingi bulan pada tahun 2023. Dari 12 krew pertama ini, 8 akan dipilih secara rawak dan anda boleh mendaftarkan minat untuk perjalanan yang kosnya ditanggung sepenuhnya oleh hartawan Jepun Yusaku Maezawa.

Komen