iQOO sebelum ini dilaporkan dalam perancangan untuk hadir dengan peranti bersama janaan cip Snapdragon 480 – yang mungkin dikenali sebagai iQOO U3x kelak. Dalam perkembangan terkini, peranti pintar ini didakwa telah tertiris menerusi beberapa laman pensijilan di China – termasuklah 3C dan TENAA dengan kod model V2106A.

Melaluinya, beberapa butiran seperti rekaan dan spesifikasi utama pada peranti didedahkan. Ia menunjukkan peranti pintar ini menggunakan modul kamera berbentuk segi empat pada panel belakang. Tetapi, masih tidak jelas mengenai bilangan sensor padanya. Selain itu, peranti ini juga akan menggunakan skrin bertakuk kecil untuk kamera swafoto dan pengimbas cap jari pada sisi.
Menurut spekulasi awal, iQOO U3x dijangka menggunakan bateri berkapasiti 5000mAh dengan pengecasan 18W, sistem operasi Android 11, kamera swafoto 8-Megapixel dan skrin dengan kadar sear semula 90Hz. Dalam pada itu, ia juga dikhabarkan mungkin adalah mirip dengan Vivo Y31s yang dilancarkan sebelum ini.