Cari @ Amanz

Bekalan cip dunia kini berada di tahap kritikal kerana permintaan yang melebihi kemampuan pengeluaran. Samsung, Xiaomi, Realme dan pelbagai pengeluar lain perlu mengubahsuai produk mereka kerana kekurangan bekalan ini. Bagi Huawei, situasinya adalah lebih runcing kerana pelbagai halangan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Kini mereka dipercayai akan mengeluarkan cip baharu Kirin 9000L dengan bantuan Samsung menurut laporan Huawei Central.

Cip ini ialah yang ketiga dalam keluarga Kirin 9000. Dari segi prestasi ia di belakang Kirin 9000 dan Kirin 9000E. Menurut maklumat yang tertiris setakat ini, perbezaan terletak pada kelajuan teras utama, teras NPU serta ters GPU. Kirin 9000L akan dilengkapi teras utama berkelajuan 2.86GHz yang lebih perlahan berbanding 3.13 GHz pada Kirin 9000. GPU Mali-G78 pula sekadar dilengkapi 18 teras berbanding 24 pada Kirin 9000. Akhir sekali pada NPU pula ia mempunyai dua teras sahaja (1 teras besar dan 1 teras kecil) berbanding 3 teras (2 besar dan 1 kecil) pada Kirin 9000.

Kerana halangan perdagangan, cip tidak lagi akan dikilangkan oleh TSMC tetapi menggunakan teknologi 5nm EUV Samsung. Tidak diketahui sama ada Samsung sudh diberikan kebenaran dari kerajaan A.S untuk menghasilkan cip ini bagi pihak Huawei.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd