Cari @ Amanz

OnePlus 9 Pro adalah peranti mercu OnePlus tahun ini dengan spesifikasi yang bersaing dengan peranti mercu lain. Ia juga pertama kali OnePlus bekerjasama dengan syarikat kamera, iaitu Hasselblad untuk kamera yang lebih baik. Harga jualan juga mencapai lebih RM4000 di sesetengah pasaran dan di Malaysia set import dilihat ada yang menjual sehingga RM4800.

Tidak dinafikan yang peranti ini mempunyai skrin yang cantik, cip Snapdragon 888, kamera 48+8+50+2 Megapixel yang kelihatan menarik dan pengecasan pantas berwayar dan nirwayar 65W/50W. Sistem operasi untuk versi global adalah Oxygen OS dan sejak tahun lepas, Oxygen OS dilihat semakin bermasalah dan tidak seperti sebelum ini. Sejak dilancarkan sehingga hari ini sudah tiga versi kemaskini diperkenalkan. Terkini, penulis dari Android Police iaitu ArtemR melaporkan yang peranti OnePlus 9 Pro mempunyai isu memanas serius yang berlaku tanpa sebab.

Isu yang paling ramai laporkan adalah penggunaan kamera. Paling aneh, walaupun hanya menggunakan dalam masa singkat sahaja ia sudah memanas sehingga kamera tidak lagi boleh digunakan. Cuaca dilaporkan adalah sekitar 21 darjah dan tidak kira mod 4K30fps atau 4K120fps, masalah tetap akan timbul. Amaran peranti memanas bukan sekadar muncul dari dalam aplikasi kamera, tetapi sistem Android turut memberi amaran yang peranti memanas.

Pemanasan sehingga kamera gagal beroperasi ini dahulunya menjadi isu besar pada peranti Sony Xperia Z4, HTC One M9 dan Xiaomi Mi Note Pro yang menggunakan cip Snapdragon 810. Ia tidak berjaya diselesaikan sepenuhnya dan merupakan antara insiden memalukan bagi pihak Qualcomm enam tahun yang lalu.

Ada pengguna lain melaporkan yang mereka menerima amaran yang bateri bermasalah. Sejak awal April, ArtemR turut menyatakan yang hasil gambar wajah manusia terlampau lembut, kontras tidak konsisten, masalah pencahayaan malam serta ada isu notifikasi dan pelancar yang kerap tergendala dan memuat semula. Di negara luar yang sudah ada rangkaian 5G, OnePlus 9 Pro yang menyokongnya tidak dapat menerima 5G, bateri cepat habis dan tangkapan layar ada isu jika cuba diambil.

Untuk kemas kini yang sudah diedarkan sebanyak tiga kali dengan senarai log perubahan menyatakan membaiki kamera dan membuang pepijat – kelihatan seperti tiada beza. Adakah ini produk OnePlus yang semua orang kenal? Di manakah identiti jenama Never Settle ini? Pengulas dari luar negara dan rakan-rakan yang membeli set import turut melaporkan ada masalah yang sama. Harapnya jika sudah dijual di Malaysia, tiada lagi isu ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd