Carian
#Seratus21 – OnePlus Ke Mana Hilang Identiti Mu?
November 12, 2020 Fahim Zahar

OnePlus adalah jenama yang suatu masa dahulu dikenali oleh mereka yang minat akan teknologi sahaja. Peranti ini tidak dipasarkan secara meluas, malah sehingga hari ini jika ditanya – jenama OnePlus ini masih aneh dan tidak mempunyai populariti seakan Samsung atau Apple. Ini kerana, itulah tujuan OnePlus. Kurangkan promosi, iklan besar-besaran untuk potong kos agar peranti dapat dijual pada harga yang murah.

Itu juga adalah antara sebab kenapa Pete Lau tubuhkan OnePlus. Beliau inginkan peranti mercu pada harga mampu milik agar pengguna rasa never settle dengan jenama dari China yang lain. Tetapi terkini, OnePlus telah hilang identiti. Mereka seakan mempunyai krisis identiti dan tiada arah tuju. Peranti mereka juga pernah bergelar sebagai peranti paling premium di negara luar. OnePlus yang kini bukanlah OnePlus yang kita kenali dahulu kerana mereka tidak lagi mendengar kata-kata pengguna.


Tiada Lagi Pembunuh Peranti Mercu

Sejak OnePlus 3, secara perlahan OnePlus mula beralih ke segmen peranti premium. Ketika itu mereka mula menggunakan bahan binaan aluminium, tidak lagi plastik seperti OnePlus One dan OnePlus 2. Peranti kaca pula terhad pada OnePlus X sahaja. OnePlus juga tidak lagi menggunakan isitilah flagship killer untuk peranti-peranti mereka. Tiba ke OnePlus 6, mereka membuat kerja gila. Sudah bagus menggunakan bahan binaan kaca, tetapi tiada pengecasan nirwayar. Sedangkan peranti pesaing boleh tawarkan ciri tersebut.

Tetapi pada ketika ini, harga jualan peranti OnePlus masih tidak mahal jika kita bandingkan dengan peranti mercu pesaing. Jadi beberapa pengorbanan mungkin boleh lagi diterima. Semakin teruk apabila pengguna inginkan OnePlus kembali hadir dengan pembunuh peranti mercu, OnePlus hanya hadir dengan peranti kelas pertengahan.

Kewujudan OnePlus Nord bermakna matilah harapan peminat untuk OnePlus hadir dengan peranti mercu seperti Mi 10T atau Poco F2 Pro. OnePlus Nord kononnya menawarkan pengalaman seakan peranti mercu, tetapi hakikatnya ia hanyalah peranti kelas pertengahan dengan skrin kadar segar semula untuk mimik peranti mercu yang benar-benar pantas dan lancar. Siri Nord juga tidak terhad pada satu model, mereka hadir pula dengan peranti seperti N10 5G dan N100 dalam kelas asas.

Tidak Lagi Mendengar Kata-Kata Pengguna

OnePlus juga terkenal kerana kerap mendengar kata-kata peminat. Mereka aktif di media sosial dan forum rasmi. Segala keluhan pengguna, kebiasaannya mereka dengar. Tetapi bermula OnePlus 6, sekali lagi kami sedar yang OnePlus menjadi semakin sombong. Contohnya mengenai undian sama ada peranti generasi seterusnya perlu ada port bicu audio 3.5mm ataupun tidak. Tetapi akhirnya mereka tetap membuang ciri ini.

Carl Pei turut pernah mengambil undian dari peminat sama ada peranti OnePlus akan datang perlu kekalkan atau tidak dengan port bicu audio. 88% peratus mengundi “nak”, tetapi OnePlus 6T mereka buang. Malah, maklum balas negatif di laman web OnePlus turut dibuang. Pengguna hanya memberikan pendapat jujur, tetapi OnePlus tidak dapat menerima perkara ini.

Alasan OnePlus pada ketika ini adalah, OnePlus 6T tiada port bicu audio kerana akan memudahkan pengguna. Mereka yang belum bersedia dengan perkembangan teknologi gunakan sahaja OnePlus 6 dan yang sudah bersedia dengan aksesori audio nirwayar dan USB-C gunakan OnePlus 6T. Alasan ini sudah pasti membuatkan ramai marah. Malah, peminat turut kecam OnePlus kerana hal ini.

Anda bayangkan, jenama OnePlus ini sepatutnya lebih hebat dari jenama Poco. Ketika pelancaran OnePlus 6T, OnePlus diejek oleh Poco kerana menjual peranti pada harga yang lebih mahal dari Poco F1. Jika OnePlus menjaga hati dan perasaan peminat, ini mungkin tidak akan berlaku.

Oxygen OS Bukan Lagi Mirip Android Asli

Sebagai peminat Android asli, seperti menggunakan AOSP, custom ROM atau terus menggunakan peranti seperti Google Pixel – sistem operasi sebegini memberikan pengalaman penggunaan yang sangat tenang. Ia asas, kosong, ringkas dan mudah digunakan. OnePlus selepas tamat kontrak dengan CyanogenMod, mereka membuat perjanjian dengan Paraoid Android untuk membina sistem operasi tersendiri – Oxygen OS.

Oxygen OS pada ketika itu amat digemari ramai kerana ada iras Paranaoid Android dan iras seakan custom ROM Android asli. Sehingga Oxygen OS 10 boleh dikatakan ramai menggelar Oxygen OS ini adalah iterasi baik Android asli. Sambil ia kekal ringkas, ia masih mempunyai ciri dan fungsi seakan sistem operasi dari pengeluar China yang menggunakan tema berat.

Bermula Oxygen OS 11, OnePlus sekali lagi seakan kebuntuan idea. Mereka mengambil rekaan One UI dari Samsung dan mendakwa mereka sedari rekaan yang memudahkan penggunaan satu tangan akan memanfaatkan pengguna. Tanpa sebarang kredit pergi ke Samsung. Susun atur Oxygen OS 11 terlampau mirip One UI.

Elemen Oxygen OS itu masih ada. Pengguna OnePlus akan rasa gembira dan mudah sahaja untuk kendalikan sistem operasi ini. Tetapi mereka yang benar-benar meminati Android asli akan sedar, Oxygen OS 11 ini sudah lain dan “berat”. Malah kami bandingkan dengan Vivo V20 yang menjalankan Funtouch OS 11 berasaskan Android 11, ia lebih Android asli dari Oxygen OS.

Kemas kini Pantas Hanya Gimik

OnePlus sering dikenali sebagai jenama yang mampu mengedarkan kemas kini dengan amat pantas. Malah kadangkala lebih pantas dari Google Pixel. Contohnya, OnePlus 7 Pro yang menerima kemas kini tampalan sekuriti Ogos 2019 lebih awal dari Pixel atau juga OnePlus 7 yang dilancarkan dengan Android 10 serentak dengan Pixel. Tetapi percaya atau tidak, kemas kini pantas ini hanya gimik dari OnePlus untuk menarik perhatian pengguna.

Lihat sahaja peranti lama OnePlus. Contohnya OnePlus 6/6T yang mengalami masalah kemas kini yang stabil. Android 10 sudah stabil sejak Mei 2019. Tetapi kedua-dua peranti ini hanya menerima kemas kini stabil pada Disember, itu pun dengan tampalan sekuriti yang sudah ketinggalan zaman. Begitu juga dengan OnePlus 5/5T, peranti ini sepatutnya tamat usia pada Jun 2020 dan November 2020. Tetapi hanya Mei lepas baru Android 10 stabil diedarkan, itu pun ada masalah tampalan sekuriti.

OnePlus Nord, OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro adalah tiga peranti baru OnePlus pada tahun ini. Kedua-dua ini adalah masalah kemas kini stabil yang terformat peranti pengguna tanpa ada jalan penyelesaian untuk kembalikan data-data pengguna. Termasuk tiga peranti ini, OnePlus sudah ada pengalaman dengan 18 peranti termasuk N110 5G dan N100, itu pun masih ada masalah kemas kini.

Tidak berhenti di situ, OnePlus mengehadkan yang kemas kini “pantas” dan tiga tahun ini terhad kepada peranti mereka yang premium sahaja. Peranti seperti N10 5G dan N100 hanya akan menerima satu kemas kini, iaitu dari Android 10 ke Android 11 dan kemudian hanya kemas kini sekuriti bulanan sahaja.

Pemergian Carl Pei Petanda Kejatuhan OnePlus

17 Oktober lalu, Carl Pei telah mengesahkan yang beliau telah meninggalkan OnePlus. Selepas 7 tahun bersama-sama dengan Pete Lau membina nama OnePlus, Carl tinggalkan jenama ini bagi memulakan projek baharu pula. Tidak pasti bilakah tarikh tepat beliau edarkan diri, OnePlus Nord beliau dilihat amat bersemangat atas perkenalannya. Tetapi OnePlus 8T mula menjadi lancar. Carl Pei yang selama ini adalah muka OnePlus sudah tiada, memberi petanda yang OnePlus bukan lagi seperti dulu.

Mungkin Carl Pei amat sayangkan OnePlus, tetapi sejak Pete Lau terlibat dengan perancangan produk Oppo dan Realme, Carl ingin pergi? Jika anda perasan, OnePlus 8T dan OnePlus Nord kelihatan seperti peranti kelas pertengahan Oppo atau Realme sahaja. Carl mungkin ada idea lain, tetapi mungkin dihalang oleh Pete. Turut sedar dengan sifat OnePlus yang sudah berubah, ini mungkin membuatkan Carl rasa sedih. Tetapi ini hanya teori.

Cuma kami yang kerap menonton pelancaran OnePlus, OnePlus 8T ini amat hambar, selekeh dan jelas kelam kabut. Ia tidak seperti OnePlus langsung.

OnePlus Benar-Benar Tidak Pernah Settle

Seperti yang kami katakan tadi moto OnePlus “Never Settle” pada asalnya adalah untuk mengejek peranti pesaing yang tidak mampu menandingi OnePlus dari segi harga dan spesifikasi. Tetapi nampaknya dengan masalah dan krisis identiti OnePlus sendiri, moto mereka ini dilihat memakan diri. Jika anda perasan, OnePlus sudah tidak kerap menggunakan perkataan “Never Settle” ini. Mungkin masih ada pada pelekat, di beberapa poster, tetapi di acara pelancaran atau mana-mana temu ramah – moto ini tidak disebut lagi.

OnePlus One

OnePlus seakan tiada arah tuju kerana mempunyai fikiran yang mereka ini sehebat jenama lain yang mempunyai pengalaman jauh lebih baik. Tetapi mereka perlu sedar, jenama seperti Xiaomi, Samsung, Apple semuanya besar dan mempunyai kem masing-masing. Peminat atau pengguna setia OnePlus sudah biasa disuap dengan banyak perkara dan menjadikan tetapan minda masing-masing, mengharapkan OnePlus boleh kembali seperti zaman OnePlus One kembali.


Komen