OnePlus 9 Pro tahun ini melalui satu perubahan drastik dari bahagian kamera, iaitu bekerjasama dengan Hasslelblad. OnePlus mengambil langkah berani, walaupun kita semua tahu pengalaman Hasselblad dengan Motorola mengecewakan. Menjadi persoalan, adakah ini hanya meminjam nama untuk menaikkan jenama atau benar-benar kualiti kamera OnePlus boleh bersebelahan dengan kamera Hasselblad? OnePlus ada tiga tahun bermula dengan peranti ini.

OnePlus turut membawakan banyak perkara baru yang dilihat bersaing sengit dengan pesaing seperti Samsung, Xiaomi dan Oppo. Tetapi adakah tanpa Carl Pei peranti mercu OnePlus boleh menjadi hebat? Apakah kesan Pete Lau turut menguruskan Realme kepada OnePlus? Dengan pilihan peranti Snapdragon 888 yang terhad di Malaysia, ramai sebenarnya nantikan peranti OnePlus kerana terkenal dengan Oxygen OS, kemaskini pantas, laju, prestasi tinggi dan banyak lagi. Tetapi sayang sekali ia masih tidak dijual di Malaysia. Terima kasih kepada seorang ahli komuniti dari group Facebook OnePlus Android Community Malaysia, saya berpeluang menguji peranti ini dan ini adalah pendapat saya sebagai bekas peminat setia OnePlus.
Spesifikasi Dan Rekaan
OnePlus 9 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.7″ LTPO Fluid2 AMOLED, 120Hz HDR10+, 1700 nits, WQHD+, Kaca Gorilla Glass 5 |
Pemproses | Snapdragon 888 (5nm) |
Cip | 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 |
Cip Grafik | Adreno 660 |
RAM | 8GB / 12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256GB / 512GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 48 MP, f/1.8, 23mm (utama), OIS 8 MP, f/2.4, 77mm (telefoto), OIS, 3.3x optical zoom 50 MP, f/2.2, 14mm (ultra lebar) 2 MP, f/2.4, (kedalaman) Penentukuran Warna Hasselblad |
Kamera Swafoto | 16 MP, f/2.4 |
Bateri | 4500mAh Warp Charge 65T, 25% lebih pantas daripada 65W Pengecasan nirwayar/berbalik 50W/asas |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | Sekitar RM3800 penukaran secara terus Mencapai RM4500 import |
Setiap kali Oppo melancarkan peranti mercu, peranti mercu OnePlus pasti akan mempunyai panel skrin yang lebih kurang sama. Daripada kualiti, rekaan dan pengalaman penggunaan semuanya lebih kurang sama. Bezanya adalah pengoptimasian perisian untuk tentukan bila perlu 120Hz dan bila perlu rendah atau pengguna sendiri tetapkan terus tetapan yang diingini. OnePlus 9 Pro menggunakan skrin LTPO Fluid2 AMOLED bersaiz 6.7-inci dengan sokongan 120Hz adaptif, paparan warna 1 bilion, HDR10+ dan kecerahan mencapai 1700 nits. Rekaan skrin juga cantik dan luas, tidak lupa dengan rekaan bezel nipis. Ia juga masih lagi melengkung ke dua-dua sisi untuk menyembunyikan bezel.

Seperti peranti mercu lain, Snapdragon 888 adalah cip yang digunakan dengan pilihan memori mencapai 12GB RAM dan storan jenis UFS 3.1 sehingga 256GB. Kamera pula adalah konfigurasi kuad-kamera daripada lensa 48+8+50+2 Megapixel dan kamera swafoto 16 Megapixel. Lensa sudut ultra lebar dikatakan adalah jenis freeform untuk kurangkan lagi kesan serotan. Sistem operasi adalah Oxygen OS 11 berasaskan Android 11 dengan antaramuka tersendiri yang tidak lagi berasaskan Android asli. Bateri adalah 4500mAh sahaja dengan sokongan pengecasan pantas 65W yang 25% lebih pantas dari Warp Charge pada OnePlus 8T. Pengecasan nirwayar 50W dan nirwayar berbalik asas turut disediakan, bersama-sama dengan sokongan NFC, perlindungan IP68, dan sekuriti pengimbas cap jari bawah skrin.

Rekaan OnePlus 9 Pro ini sekali imbas kelihatan seperti sebuah Oppo Reno5 sahaja. Ia premium, tetapi Reno5 adalah peranti kelas pertengahan premium dan bukannya peranti mercu. Jika kita lihat Xiaomi atau Oppo, sekurang-kurangnya ada kelainan pada rekaan untuk peranti mercu mereka yang paling berkuasa. Tetapi, binaan peranti ini cukup premium lebih-lebih lagi warna Stellar Black dengan kemasan kusam. Ia selesa di tangan, ringan, mempunyai cengkaman yang baik. Mengimbau kembali OnePlus One dengan kemasan Sandstone tetapi yang sudah haus. Butang yang sedap ditekan, nipis secara keseluruhan, dan masih ada lagi butang kawalan notfikasi yang ikonik.
Membezakan rekaan OnePlus 9 Pro dengan Oppo adalah kemasan sahaja. Berbanding dengan kemasan pusam pada Samsung, pada hemat saya yang ini adalah lebih baik. Tetapi jika dibandingkan dengan Pixel, Pixel terasa seakan peranti mainan dan OnePlus ini rasa yang ia adalah peranti premium.
Pengalaman Penggunaan
OnePlus 9 Pro mempunyai skrin yang bagus. Ia cukup terang sehinggakan di bawah cahaya matari terik pun masih boleh dilihat dengan jelas. Paparan warna yang tajam, cantik dan memuaskan. OnePlus turut menawarkan sokongan pengoptimasian skrin dari perisian seperti Vibrant Color Effect Pro, Motion Graphics Smoothing dan juga Ultra-high Video Resolution. Melaluinya menonton video atau bermain permua boleh memberikan pengalaman yang lebih hebat. Tetapi skrinnya ada satu isu besar yang tidak boleh maafkan, iaitu kadar segar semula adaptif yang gimik semata-mata. OnePlus menyatakan dengan penggunaan panel LTPO, Oxygen OS – peranti ini boleh berubah dari 1Hz sehingga 120Hz. Tetapi penggunaan saya dalam masa yang singkat dengan mod Smart untuk adaptif ini lebih kepada 60Hz atau 120Hz sahaja walaupun dengan melihat gambar di galeri.

Menariknya, dengan sokongan percubaan Hyper Motion Smoothing – aplikasi yang tidak menyokong kadar segar semula tinggi boleh dipaksa dengan bantuan mod ini. Disebabkan 120Hz adaptif yang tidak berfungsi dengan baik, saya yang gemarkan 120Hz sentiasa ubah ke tetapan ini barulah rasa lebih seronok kerana peranti lebih lancar dan pantas. Tetapi apabila percubaan 60Hz sentiasa, secara automatik peranti ada lengah masa dan menjadi perlahan. Ia bukan hanya sekadar tatalan pada skrin, tetapi membuka aplikasi juga perlahan. Kekuatan skrin OnePlus hanya pada reolsui sahaja untuk 9 Pro.

Saya hanya dapat menggunakan peranti ini sekitar satu jam sahaja, jadi tidak banyak yang boleh saya uji. Permua dan penanda aras mungkin akan disampaikan dalam ulasan kelak jika berpeluang. Tetapi untuk prestasi, apa yang boleh saya kongsi adalah Oxygen OS. Adakah Oxygen OS yang ramai peminat gemar dipadankan dengan Snapdragon 888 cukup berkuasa? Untuk OnePlus 9 Pro dengan Oxygen OS 11.2.3.3 binaan ROM India pada set import ini adalah tidak bagus. Ia tidak memuaskan sehingga saya lebih rela menggunakan MIUI 12 yang tidak konsisten dan ada iklan. Bayangkan, diri saya yang dulu gemarkan Oxygen OS dan pengalaman Android asli rela menggunakan MIUI.
MIUI lebih teruk? Baiklah, saya lebih rela menggunakan Color OS 11 yang juga Android 11 yang memberikan pengalaman penggunaan jauh lebih stabil, lancar, pantas, dan lebih dekat dengan Android asli. Funtouch OS pada Vivo X60 Pro juga mempunyai pengalaman yang baik.
Kenapa jadi begini dan apakah isunya? Pertama saya suspek adalah bermula dengan pengenalan Oxygen OS 11 yang berubah secara drastik. OnePlus tidak lagi menggunakan rekaan seakan Android asli, tetapi dengan antaramuka tersendiri dengan inspirasi dari MIUI. Walaupun begitu, pengalaman penggunaan masih seakan Android asli cuma dari segi visual sahaja. Jadi perubahan rekaan visual ini menjadikan Oxygen OS sekarang bukan seperti dulu. Kemudian dengan pasaran China yang menggunakan Color OS untuk peranti OnePlus, pengoptimasian dan kelajuan kemaskini tidak sehebat zaman OnePlus 6T ke bawah.

Disebabkan perisian bermasalah, ia membawa kepada skrin kadar segar semula yang tidak konsisten serta masalah pada prestasi. Contohnya adalah pada aplikasi kamera, apabila mengubah mod atau tukar lensa ia sangat perlahan dan hampir tersangkut. Kemudian tekan butang pengatup pula ada sela masa dan paling mengecewakan untuk peranti Snapdragon 888, selepas gambar diambil peranti ini mengambil masa yang lama untuk pasca-proses. Isu ini tiada pada Mi 11 atau Oppo Find X3 Pro. Apabila ingin crop gambar selepas tangkap pula ia mengambil masa sekitar 5-10 saat untuk proses berbanding dengan menggunakan Google Photos yang hanya 2-3 saat sahaja.

Kemudian untuk penggunaan dalam masa singkat ini juga, yang mana saya hanya menerokai Oxygen OS, buka tutup aplikasi, ubah tetapan, tatal sana dan sini – sekitar 30 minit sudah mula suam. Belum lagi menguji kamera dan bermain permua. Apabila menguji kamera, sekitar beberapa minit penggunaan di dalam kafe yang ada penyaman udara – peranti sudah menjadi suam yang sedikit lagi akan panas. Apabila menguji kamera di kawasan luar, seminit penggunaan sudah suam dan apabila rakaman video dimulakan tidak sampai 3 minit sudah panas melampau sehingga saya terpaksa gunakan semula kerangka pelindung.
Di sini saya tidak dapat bayangkan kalau menguji permua Genshin Impact atau bermain Asphalt 9 pada jangka masa lama. Kalau penggunaan ringan pun sudah mula suam, bermain permua pasti akan lebih cepat memanas.
Menurut pemilik peranti ini, iaitu Saudara Chong – tetapan sentiasa 120Hz + WQHD+ memberikan ketahanan bateri sekitar 4-5 jam SOT. Penggunaan beliau selama satu minggu adalah setiap hari tiada permua, banyak media sosial, beberapa kali penggunaan Waze, tambatan Bluetooth dan menguji kamera sahaja. Merujuk ulasan Oppo Find X3 Pro dan Mi 11 di Amanz – tetapan sama Oppo adalah mencapai 8.5 jam SOT dan Xiaomi pula mencapai 7 jam. Pengalaman saya sendiri dengan peranti OnePlus sebelum ini juga adalah sekitar 6-7 jam. Tetapi jika OnePlus 9 Pro sekitar 4-5 jam, itu agak teruk.

Jelas di sini isu besar OnePlus adalah pada perisian, yang mana seperti yang saya katakan tadi – Oxygen OS sekarang bukan seperti yang dulu. Oxygen OS sekarang lebih kepada cuba memuaskan hati pengguna sedia ada dan seakan cuba menarik hati pengguna jenama lain. Tetapi jika pandangan awal begini, saya agak kecewa. Sudah tiga kemaskini global diedarkan masih ada isu.
Bekerjasama Dengan Hassleblad Baik Atau Buruk?
Secara peribadi kami merasakan kerjasama antara pengeluar telefon dan kamera hanya menguntungkan untuk jangka masa pendek bagi menumpang nama untuk jangka masa pendek tetapi merugikan untuk jangka masa panjang.
Effi Saharudin – artikel Adakah Kerjasama Pengeluar Telefon Dengan Syarikat Kamera Menguntungkan?
Jadi adakah OnePlus startegi OnePlus ini bijak. Kita tahu Hasselblad tidak mempunyai pengalaman baik dengan kerjasama telefon pintar. Lihat nasib Motorola dengan Moto Mods Hasselblad – teruk, mahal, tidak berbaloi. OnePlus 9 Pro pula bagaimana? Menurut OnePlus ini hanya langkah awal dengan bantuan pengoptimasian dari segi perisian dahulu sebelum ke perkakasan. Oleh yang demikian, sistem kamera OnePlus 9 Pro menggunakan Penentukuran Warna Hasselblad.

Konfigurasi kamera adalah 48 MP, f/1.8, 23mm (utama), dengan sokongan fokus lebih baik dan OIS bergabung dengan 8 MP, f/2.4, (telefoto), juga dengan OIS dan ada sokongan zum optikal 3.3x, ditemani pula dengan sensor yang diberikan fokus utama iaitu 50 MP, f/2.2, (ultra lebar) jenis freeform untuk kurangkan serotan. Paling tidak boleh ditinggalkan adalah sensor 2MP untuk kedalaman.

Jika dilihat spesifikasinya amat hebat. Tetapi penggunaan bagaimana? Saya mulakan dengan swafoto, yang mana terlampau lembut, potret tidak kemas, fokus tidak konsisten dan ada banyak hingar jika cahaya di dalam rumah/pejabat/kafe. Tetapi, warnanya cukup baik dan boleh diterima.

Seterusnya adalah mod sudu ultra lebar. Sejak siri OnePlus 7, kamera sudut ultra lebar peranti OnePlus adalah memuaskan. Adakah penggunaan sensor 50MP dengan lensa freeform membantu? Ya, sedikit. Tetapi tidak seperti diiklankan. Ia memuaskan dan saya boleh menerimanya. Ia lebih baik dari yang saya sangkakan. Warnanya tepat, serotan kurang dan nilai HDR yang mencukupi.




Mod biasa, bolehlah. Tetapi tidak seperti yang dihangatkan, dengan profil warna Hassleblad ke apa ke – ia hanya biasa. Masih ada sedikit isu sana dan sini, tetapi kualiti cukup baik dengan fokus yang pantas, warna yang sedikit terlampau terang berbanding dengan apa yang mata saya lihat. Saya perlu uji lagi jika berpeluang untuk lihat kualiti dari suasana berbeza. Zum juga agak baik jika dibandingkan sebelum ini. Tetapi ia terlampau tajam menjadikan butiran tidak dipelihara dengan baik.

Mod malam pula agak mengecewakan. Gambar yang saya kongsi ini adalah yang diberikan oleh pemilik peranti, yang mana menurut beliau OnePlus 8 Pro berasarkan pengalaman beliau adalah lebih baik dari OnePlus 9 Pro. Sampel video pula jika berkesempatan akan diuji dalam ulasan. Ketika menguji rakaman video, peranti sudah mula memanas dan disebabkan ia adalah peranti yang dimiliki oleh orang lain – saya hanya dapat menguji seketika. Apa yang saya boleh katakan, ia lebih baik dengan warna lebih tajam serta penstabilan yang lebih bagus.
Jadi isu besar kamera mungkin cuma memanas, aplikasi lengah masa, pasca proses perlahan dan crop. Lain saya rasakan boleh sahaja dibaiki dengan perisian. Apa kata anda?
Pesaing Yang Boleh Dibeli Di Malaysia
Mi 11 Ultra | OnePlus 9 Pro | Oppo Find X3 Pro |
6.81″ AMOLED, 120Hz Adaptif, Dolby Vision, 1700 nits, WQHD+ | 6.7″ LTPO AMOLED, 120Hz Adaptif, HDR10+, 1300 nits, WQHD+ | 6.7″ LTPO AMOLED, 120Hz Adaptif, HDR10+, 1300 nits, WQHD+ |
Snapdragon 888 (5nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 | Snapdragon 888 (5nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 | Snapdragon 888 (5nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 |
Adreno 660 | Adreno 660 | Adreno 660 |
8/12 Gigabyte | 8/12 Gigabyte | 12 Gigabyte |
128/256 Gigabyte UFS 3.1 | 128/256 Gigabyte UFS 3.1 | 256 Gigabyte UFS 3.1 |
Kamera Utama 50+48+48 Megapixel, (f/2.0+f/4.1+f/2.2) | Kamera Utama 48+50+8+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4) | Kamera Utama 50+13+50+3 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.2+f/3.0) |
Kamera Hadapan 20-Megapixel, (f/2.2) | Kamera Hadapan 16 Megapixel, (f/2.4) | Kamera Hadapan 32 Megapixel, (f/2.4) |
IP68 | IP68 | IP68 |
Tiada Bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Ada Pemancar infra merah | Tiada pemancar infra merah | Tiada Pemancar infra merah |
5000mAh (Berwayar/Nirwayar 67W) | 4500mAh (Berwayar/Nirwayar 65W/50W) | 4500 mAh (Berwayar/Nirwayar 65W/30W) |
RM4299 | Sekitar RM3900 (variasi 12/256 GB India) | RM4299 |
Ya benar, harga jualan OnePlus 9 Pro 12/256 GB di pasaran luar adalah sekitar RM3800-RM3900. Saya bandingkan variasi ini kerana peranti mercu Xiaomi paling tinggi adalah Mi 11 Ultra dan Oppo Find X3 Pro kedua-dua hanya 12/256 GB sahaja ditawarkan di Malaysia. Jadi, OnePlus 9 Pro kelihatan berbaloi.
Tetapi ia masih belum dijual di Malaysia dan harga jualan import pula boleh mencapai lebih RM4500.
Kesimpulan
Perasaan tidak sedap hati saya terhadap jenama OnePlus mula muncul sejak OnePlus 7 Pro. Tetapi siri peranti tersebut masih boleh dimaafkan dan boleh diterima lagi. Cuma kali ini, OnePlus benar-benar berubah arah dan sudah tidak mempunyai identiti tersendiri. Saya sendiri tidak faham apa yang mereka fikirkan atau apakah strategi mereka ini. Mungkin ia sangat mengelirukan sehingga Carl Pei keluar dari OnePlus dan disusuli dengan seorang lagi eksekutif mereka. Isu besar adalah perisian sahaja, itu yang saya rasakan dalam penggunaan ringkas ini.

Kemudian, OnePlus patut hentikan pemasaran menggembar-gemburkan dengan banyak gimik. Fokus pada peminat seperti dahulu dan dengar luahan dari komuniti. Contohnya 120Hz yang kononnya lebih hebat dari pesaing, kamera Hasselblad yang hebat, sudut ultra-lebar tanpa kesan serotan, kemaskini pantas, Oxygen OS yang lancar – semua itu bukan diri mereka yang peminat kenal. Semua yang didakwa tiada dalam OnePlus 9 Pro. Adakah OnePlus terlampau kejar pesaing sehinggakan produk mereka menjadi begini?
Akhirnya motto OnePlus Never Settle menjadi realiti, dengan menawarkan produk yang tak setel-setel lagi. Oxygen OS yang seakan tak setel dibangunkan, kamera yang seakan tak setel ditetapkan, atau rekaan yang tak lagi setel sampai gunakan rekaan Oppo dan akhir sekali menjual produk yang tak setel lagi pembangunannya. Sebagai seorang yang menggunakan OnePlus One, OnePlus 3/3T, OnePlus 5/5T, OnePlus 6/6T, kesemua barisan OnePlus 7 – OnePlus 9 Pro adalah yang paling saya kecewa. Peranti OnePlus terakhir yang saya gunakan dan saya hargai dan sayang sebelum berpindah ke peranti lain adalah OnePlus 7T.
Selamat tinggal OnePlus.
Pro
- Panel belakang dengan kemasan hitam kusam yang menarik, cengkaman hebat dan binaan premium.
- Bonggol kamera nipis yang tidak menjengkelkan.
- Menyokong pengecasan pantas 65W.
- Skrin yang cantik setanding OLED peranti mercu lain.
- Kamera sudut ultra lebar yang lebih baik.
Kontra
- Rekaan keseluruhan seakan sebuah Oppo Reno.
- Bateri lemah dengan tetapan paling tinggi berbanding pesaing.
- 120Hz tidak adaptif dan penggunaan 60Hz menjadikan peranti terus kerap lengah masa.
- Kamera swafoto yang banyak hingar dan terlampau lembut, serta potret tidak kemas.
- Oxygen OS penuh dengan pepijat membuatkan prestasi tidak konsisten
- Peranti cepat memanas walaupun dengan penggunaan ringan.
Terima kasih Saudara Chong kerana meminjamkan peranti ini.