Cari @ Amanz

Google Photos adalah antara perkhidmatan terbaik daripada Google dan juga antara yang paling saya gemari. Semua sandaran video dan foto saya menggunakan perkhidmatan ini, yang mana tidak lama lagi sokongan sandaran tanpa had akan dihentikan dan semua sandaran akan mula menggunakan kuota Google Drive pengguna. Bukan itu sahaja, Google juga mula mengehadkan ciri dan fungsi Google Photos kepada pengguna berbayar – iaitu yang melanggan Google One.

Sebagai pengguna yang melanggan Google Drive, ini bukan isu untuk saya. Dua bulan lepas, Google telah menawarkan pengguna iOS fungsi suntingan video baharu yang terus terbina dalam Google Photos. Akhirnya kini, pengguna Android dapat menggunakannya. Fungsi suntingan kali ini dilihat lebih banyak pilihan daripada alat pemangkas (crop), kemampuan eksport bingkai secara individu, membuang audio, mengawal warna, menambah penuras, atau juga mencoret dengan lakaran dan banyak lagi. Kekurangannya hanyalah tidak boleh menyatukan beberapa klip menjadi satu video.

Menurut beberapa laporan, fungsi ini diedarkan melalui kemaskini dari bahagian pelayan. Tetapi saya menerima fungsi ini selepas kemaskini dari Play Store, iaitu Google Photos versi 5.37.0.367506220. Jika anda ingin cuba, ia dilihat ditawarkan untuk semua orang walaupun tidak melanggan Google One. Jadi, mungkin buat masa ini hanya suntingan foto sahaja terhad. Tekan pautan di bawah untuk muat turun Google Photos terkini di Play Store.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd