Semalam harga jualan Samsung Galaxy Z Fold2 telah ditawarkan pada harga RM6999 yang bersamaan RM1000 lebih murah berbanding harga pelancarannya September tahun lalu. Ini ialah petanda paling jelas diberikan Samsung bahawa model kemas kini akan mula dipasarkan dalam jangka masa terdekat.
Menurut laporan The Elec , Samsung Galaxy Z Fold3 dan Samsung Galaxy Z Flip2 akan dilancarkan pada bulan Julai hadapan. Ini ialah tarikh yang amat awal sedangkan sebelum ini ia diramalkan dilancarkan pada bulan Ogos keran mengambil alih slot Galaxy Note yang dibatalkan tahun ini.
Antara ura-ura yang didengari tahun ini ialah Z Fold3 akan dilengkapi skrin yang lebih kecil tetapi ini adalah kerana perubahan nisbah pada skrin dalaman. Ia mungkin meminjam ciri dari Huawei Mate X2 yang mempunyai skrin luaran yang lebih lebar bagi membolehkan ia lebih praktikal digunakan tanpa perlu membuka skrin boleh-lipat.
Setakat ini kesemua maklumat masih lagi spekulasi memandangkan terdapat masalah bekalan cip di peringkat global. Sekiranya dilancarkan sekalipun, ia mungkin tidak ditawarkan dalam jumlah yang besar.