Tahun lepas Facebook telah melancarkan Oculus Quest 2 yang dikuasakan dengan cip Snapdragon XR2, binaan lebih ringan, lebih selesa dan ergonomik dan dijual pada harga mampu milik. Bersama-sama dengan set kepala VR baharu ini, Infinite Office turut dilancarkan sebagai pejabat dalam dunia realiti maya untuk norma baharu bekerja dari rumah.

Terkini, kemaskini baru diperkenalkan yang akan akan membuatkan orang ramai lebih menggemari Oculus Quest 2 dan menerima konsep VR sebagai peranti yang patut dimiliki oleh semua orang. Pertama adalah Oculus Air Link yang membenarkan pengguna sambungkan set kepala VR ini dengan komputer secara nirwayar. Teknologi ini masih lagi beta dan adalah berasaskan teknologi Oculus Link. Oculus turut memberi peringatan untuk menggunakan WiFi yang laju, selamat dan dipercayai pengguna sahaja. WiFi haruslas 5GHz dan menggunakan penghala AC atau AX sahaja.

Seterusnya adalah Infinite Office baharu dengan sokongan meja maya berasaskan perabot sebenar milik pengguna. Ia adalah ruangan bekerja khusus untuk mengakses aplikasi atau alatan seperti pelayar web untuk tugasan-tugasan produktiviti. Lebih menarik, sensor-sensor dan perisian Oculus Quest 2 boleh mengingati batas perabot ini agar sesi seterusnya pengguna tidak lagi perlu tetapkan semula. Melalui kerjasama dengan Logitech, papan kekunciĀ Logitech K830 boleh ditambat kepada Oculus Quest 2 dan ia akan terpapar dalam bentuk 3D bersama-sama tangan pengguna dalam dunia maya. Oculus turut menjanjikan pengalaman penggunaan tanpa sela masa atau masa pendam yang rendah.

Melalui kemaskini perisian pula, Oculus Quest 2 turut akan menerima sokongan kadar segar semula 120Hz. Ia adalah naiktaraf daripada sokongan 90Hz sebelum ini. 90Hz juga sudah disokong pada banyak aplikasi seperti Echo VR, Red Matter, Vacation Simulator, Racket: Nx, Eleven Table Tennis, dan Down the Rabbit Hole. Tetapi untuk memanfaatkan perkakasan set kepala ini, 120Hz harus dicuba bagaimanakah kemampuannya. Sementara itu, Oculus menyatakan untuk pengalaman yang lancar dan memuaskan mod 72Hz adalah tetapan terbaik.
Kemaskini ini adalah v28, yang mana akan diedarkan secara berperingkat.
