Cari @ Amanz

Realme Q3 dikhabarkan akan menjadi pembunuh peranti mercu baharu. Peranti ini mungkin akan dijana dengan cip MediaTek Dimensity 1100, menggunakan skrin 120Hz, menyokong pengecasan pantas 65W, storan UFS 3.1 dan memori LPDDR4X. Untuk rangkaian, WiFi 6 akan disokong bersama-sama dengan Bluetooth 5.2 dan peranti ini akan dijual pada harga sekitar hanya RM1200.

Naib Presiden Realme China, Xu Qi mengacah di Weibo satu GIF yang dikatakan adalah panel belakang Realme Q3. Panel ini akan menyertakan motto Realme Dare To Leap yang menyala dalam gelap. Ini mungkin sama dengan Realme 8 Pro yang dilancarkan sebelum ini yang menawarkan satu variasi edisi khas dengan logo Dare To Leap menyala dalam gelap. Logo ini dikatakan disalut dengan bahan pendarfluor khas.

Di China, Oppo Reno5 Pro+ turut ditawarkan dalam satu edisi khas yang menggunakan panel belakang elektrokromik. Panel ini membolehkan warna peranti diubah menjadi warna lain. Jika Realme Q3 tidak menggunakan bahan pendarfluor, mungkinkah ini peranti bajet dengan panel elektrokromik? Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd