Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Tab adalah siri tablet Android yang merangkumi siri A untuk mampu milik dan juga siri S untuk yang lebih premium. Di Malaysia, Galaxy Tab A7 merupakan tablet terkini dalam siri ini yang dijana dengan cip Snapdragon 662 dan dijual pada harga RM999 untuk versi WiFi. Kemudian, versi A7 Lite turut dilaporkan akan tiba pada Jun ini tetapi informasi lengkap tidak didedahkan.

Terkini melalui laman Voice @OnLeaks, rekaan dan sedikit spesifikasi tablet ini didedahkan. Secara keseluruhan, ia kelihatan lebih kurang sama dengan Tab A7 sebelum ini tetapi dengan bezel yang lebih nipis. Di belakang terdapat modul kamera satu lensa 8MP, yang mana adalah naik taraf daripada A7 yang hanya menggunakan 5MP. Tetapi sayang sekali kamera swafoto hanya 2MP, tidak pasti kenapa ini pilihan Samsung kerana penggunaan tablet dengan kamera swafoto berkualiti mempunyai permintaan tinggi.

Seterusnya, tablet ini turut dikatakan mempunyai pembesar suara stereo dan mengekalkan port bicu audio 3.5mm. Skrin dikatakan adalah 8.4-inci, dan tablet ini dibina dengan rangka logam. Cip pemprosesan, panel skrin, memori semuanya masih tidak diketahui lagi. Jika kita ikut laporan sebelum ini, tablet ini akan tiba seawal Jun 2021 tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd