Cari @ Amanz

Siri Realme Q3 akan dilancarkan di China pada minggu ini – iaitu 22 April 2021. Menjelang pelancaran rasmi, beberapa spesifikasi utama pada siri berkenaan kini telah disahkan oleh jenama itu sendiri menerusi beberapa poster acah.

Memetik poster dikongsi, Realme mengesahkan peranti di bawah siri ini kelak akan dilengkapi cip MediaTek Dimensity 1100, skrin dengan kadar segar semula 120Hz dan sistem penyejukan cecair setaraf sebuah PC. Namun begitu, Realme tidak pula menyatakan model manakah yang akan disertakan fungsi-fungsi yang dinyatakan ini secara khusus.

Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan berapa bilangan model peranti yang bakal diperkenalkan oleh Realme untuk siri kali ini. Namun, ramai menjangkakan jenama ini bakal memperkenalkan sekurang-kurangnya dua model berbeza yang terdiri dengan Realme Q3 dan Realme Q3 Pro.

Ramai juga menyasarkan kedua-dua ini akan menampilkan beberapa spesifikasi yang sama. Tetapi masih akan terdapat beberapa bahagian lain yang akan diubah bagi menjadikannya mempunyai kelebihan tersendiri. Misalnya, Realme Q2 dan Realme Q2 Pro sebelum ini menggunakan sokongan cip yang sama – iaitu MediaTek Dimensity 800U (7nm).

Tetapi, dipadankan dengan jenis skrin yang berbeza. Di mana, Realme Q2 mempunyai skrin LCD. Sementara itu, Realme Q2 Pro pula menggunakan panel AMOLED. Seperti biasa, sama-sama nantikan pelancaran rasmi kelak untuk penawaran lebih lanjut. Jangan lupa juga nantikan pelancaran Realme 8 Pro untuk pasaran Malaysia yang turut dijadualkan pada hari yang sama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd