Cari @ Amanz

Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa Google mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan peranti Google Pixel 5a mereka untuk beberapa pasaran terpilih, termasuklah Amerika Syarikat dan juga Jepun.

Melalui laporan 9To5 Google, ia dilihat bahawa peranti tersebut akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 765G, iaitu cip pemprosesan sama yang digunakan pada peranti Google Pixel 5 dan Pixel 4a 5G yang dilancarkan sebelum ini.

Perkara ini disahkan melalui kod sumber Android 12 Developer Preview yang memperlihatkan beberapa kod nama yang boleh mengesahkan bahawa Pixel 5a ini adalah sebuah peranti yang memang akan diperkenalkan oleh Google.

Pertama ialah kod nama Barbet, yang telah disahkan sebagai kod nama untuk peranti Pixel 5a. Kedua ialah penggunaan nama sm7250, yang juga seperti diketahui ialah nama bahagian untuk cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 765G.

Buat masa ini, spesifikasi lain seperti memori, storan dan juga sistem kamera yang akan digunakan pada peranti Pixel 5a ini masih tidak diketahui lagi. Dalam pada itu, rekaan awal yang tertiris juga memperlihatkan rupa peranti yang tidak jauh berbeza daripada Pixel 4a 5G yang dilancarkan sekitar dua tahun lalu.

Menariknya, Pixel 6 yang akan diperkenalkan kelak akan menggunakan cip pemprosesan buatan Google sendiri yang hadir dengan kod nama GS101. Buat masa ini, masih lagi tiada sebarang butiran lanjut mengenai peranti tersebut yang dilaporkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd