Cari @ Amanz

Untuk ke Marikh bukan sahaja bekalan bahan api dan makanan yang mencukupi perlu dibawa tetapi juga bekalan oksigen untuk bernafas. Ini akan memerlukan roket yang besar digunakan untuk memastikan kejayaan misi yang ingin dilakukan. Antara penyelesaian yang difikirkan di NASA ialah menghasilkan oksigen di permukaan planet tersebut.

Perseverance, perayau yang mendarat di Marikh bulan Februari lalu telah berjaya menghasilkan oksigen menggunakan sebuah alat yang diberi nama Mars Oxygen In-Situ Resource Utilization Experiment (MOXIE). Dalam ujian pertama MOXIE menghasilkan 5.4 gram oksigen setiap jam dengan memproses karbon dioksida dari udara Marikh. Ini adalah bersamaan dengan bekalan yang diperlukan seorang angkasawan selama 10 minit.

MOXIE berfungsi dengan terlebih dahulu memproses udara Marikh menggunakan penapis HEPA. Kemudian ia dimampatkan sebelum dipanaskan ke suhu 800 °C. Sebuah lapisan seramik beroksida kemudian akan bertindak balas dengan karbon dioksida di udara dan memisahkannya menjadi oksigen dan karbon monoksida.

Atmosfera Marikh adalah terdiri daripada 96% karbon dioksida yang akan dijadikan bahan asas hampir tanpa had untuk menghasilkan oksigen bukan sahaja untuk bernafas tetapi juga menghasilkan bahan api roket dan air minuman. NASA berkata untuk misi akan 7 tan metrik bahan api dan 25 tan metrik oksigen diperlukan untuk melancarkan roket dari permukaan Marikh.

NASA mempunyai perancangan untuk menghasilkan unit MOXIE yang lebih besar untuk misi Marikh yang boleh menghasilkan lebih bayak oksigen setiap jam. Penggunaan bahan api dan oksigen yang optimum amatlah perlu untuk memastikan misi angkasa lepas masa hadapan boleh dilakukan dengan jayanya.

Deep Space Food Challenge  sedang mencari teknik menghasilkan makanan dalam angkasa lepas menggunakan sumber yang paling optimum dan  program Demonstration Rocket for Agile Cislunar Operations (DRACO)  oleh DARPA pula ingin membangunkan roket nuklear yang membakar bahan api dengan lebih baik untuk misi ke Marikh.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd