Carian
Mi Band Boleh Menyah-Kunci Peranti Xiaomi Sejak 2014 – Tetapi Iterasi Apple Dengan Apple Watch Jauh Lebih Selamat
April 27, 2021 Fahim Zahar

Apple hari ini telah mengedarkan kemaskini iOS 14.5, yang mana mengaktifkan ciri privasi App Tracking Transparency. Ciri ini digeruni oleh banyak syarikat media sosial kerana perlu meminta kebenaran pengguna terlebih dahulu sebelum memantau penggunaan mereka. Paling penting, iOS 14.5 turut membolehkan pengguna nyah-kunci iPhone melalui Apple Watch – sesuai ketika era memakai pelitup muka yang menyukarkan proses nyah-kunci berasaskan wajah.

Secara asasnya, fungsi ini adalah menggunakan peranti boleh pakai untuk menyah-kunci peranti bersama-sama dengan peranti boleh pakai.

Tetapi, jika menyah-kunci peranti dengan peranti boleh pakai – Xiaomi sudah lama ada kemampuan ini. Lebih spesifik sejak 2014 lagi dengan Mi Band pertama. Melalui aplikasi Mi Fit dan Mi Band, ia boleh ditetapkan untuk menyah-kunci peranti tanpa pengguna mengisi kata laluan atau corak kunci skrin. Untuk Mi Band yang lebih moden, ada pilihan untuk mengunci skrin Mi Band jika ia tidak berada di tangan pengguna dan turut boleh tetapkan “jarak” nyah-kuci – seperti rapat, berdekatan atau jauh. Ini bermakna, peranti hanya boleh dinyah-kunci dengan Mi Band mengikut jarak lokasi Mi Band dengan peranti.

Ia juga tidak selamat kerana sesiapa sahaja boleh bawa peranti pengguna dan nyah-kunci. Ia lebih kepada konsep yang sedia terbina dalam Android sejak azali lagi – Trusted Device. Tetapi dengan spesifik untuk MIUI dan Mi Band. Kaedah ini tidak efisien dan selamat dan hanya sekadar memudahkan pengguna sahaja bukan untuk sekuriti yang ketat.

iPhone Pelitup Muka

Pujian diberikan kepada Apple, kerana masih mengimbas wajah pengguna untuk mengenalpasti identiti dan menggunakan Apple Watch sebagai pengesahan. Kemudian jika Apple Watch tiada di tangan, Face ID gagal mengecam wajah – kata laluan harus dimasukkan. Apple jelas di sini mementingkan privasi dan sekuriti pengguna dan turut membawakan fungsi konsep yang ada pada Android ke iOS, tetapi dengan iterasi tersendiri yang jauh lebih baik.

Komen