Cari @ Amanz

iOS 14.5 telah diedarkan baru-baru ini. Beberapa syarikat media sosial takut akan kemaskini ini, kerana Apple membenarkan pengguna mengawal privasi masing-masing secara lebih mendalam melalui App Tracking Transparency. Aplikasi kini perlu meminta kebenaran pengguna sebelum memantau aktiviti mereka. Selain itu, pengguna Apple Watch juga sudah boleh menyah-kunci peranti dengan Face ID walaupun pelitup muka digunakan.

Apple turut membawakan sokongan AirTag, alat kawalan PS5 dan Xbox Series X dengan sokongan haptik serta sejumlah penambah-baikkan untuk Siri seperti mengubah suara. Seperti yang diperlihatkan sebelum ini semasa iOS 14.5 masih berada dalam versi beta, versi ini boleh melakukan penentukuran bateri iPhone. Secara tidak langsung peratusan Battery Health peranti atau kesihatan bateri boleh meningkat dan memberikan ketahanan ekstra berbanding sebelum.

Sesetengah laporan mendakwa daripada sekitar 80%-85% aras bateri, boleh menjadi sehingga 90% ke atas dan ada juga yang kembali menjadi 100%. Walau bagaimanapun, fungsi penentukuran ini hanya terhad kepada iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max sahaja. Ia juga akan berlaku secara automatik, di mana bahagian bateri akan memaparkan mesej penting menyatakan sistem kesihatan bateri sedang melakukan penentukuran pada Maximum Capacity dan Peak Performance Capability. Proses ini dikatakan mengambil masa sehingga beberapa minggu.

Menurut 9to5Mac, jika proses menentukur tidak berjaya – mesej menyatakan bateri perlu diganti akan terpapar. Untuk pengguna yang menggunakan sesebuah peranti pada jangka masa panjang dan jarang tukar – ini adalah fungsi penting untuk pemantauan. Sayang sekali, Android masih tiada ciri ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd