Cari @ Amanz

Xiaomi Malaysia akan mengadakan sebuah acara pelancaran digital pada 20 Mei kelak, dimana mereka akan memperkenalkan sejumlah peranti baru, termasuklah siri televisyen pintar Xiaomi yang pertama di pasaran ini, Redmi Note 10S dan juga Xiaomi Mi 11i.

Sayangnya, hari ini kami telah diberitahu oleh pihak Xiaomi Malaysia bahawa salah satu daripada peranti tersebut, iaitu Xiaomi Mi 11i tidak akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia sewaktu acara tersebut. Sayangnya, tiada alasan yang diberikan tentang mengapakah Xiaomi Malaysia tidak akan membawa masuk peranti tersebut setakat ini, tetapi kami menjangkakan bahawa bekalan cip pemprosesan yang diperlukan masih lagi menjadi isu utama untuk Xiaomi.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menempah sebuah model Xiaomi Mi 11 Ultra, Mi 11i sepatutnya menjadi pengganti kepada peranti tersebut, khususnya kerana spesifikasi dalamnya yang cukup berkuasa, dimana ia hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888, memori 8GB dan storan sebesar 256GB.

Dari segi penawaran kamera, ia hadir dengan kamera tiga lensa 108+8+5 Megapixel dan kamera swafoto dengan saiz 20 Megapixel. Ia juga hadir dengan bateri sebesar 4250mAH dan pengecasan pantas 33W Pro.

Buat masa ini, kami masih lagi sedang mencuba untuk mendapatkan kepastian sama ada Xiaomi Malaysia hanya perlu lebih masa untuk melancarkan peranti tersebut untuk pasaran tempatan, ataupun ia tidak akan tiba langsung secara rasmi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd