Cari @ Amanz

Nampaknya, semakin banyak penawaran aksesori audio baharu yang boleh dilihat dalam masa terdekat ini. Xiaomi baru sahaja hadir dengan fon telinga nirwayar premium menerusi pengenalan FlipBuds Pro. Kemudian, Vivo juga telah menjadualkan acara pelancaran untuk Vivo TWS 2 tidak lama lagi. Terkini, Huawei turut mempunyai perancangan yang sama untuk memperluaskan lagi rangkaian aksesori audio mereka.

Huawei telah menjadualkan sebuah acara pelancaran untuk sejumlah rangkaian produk baharu di China pada 19 Mei ini. Huawei FreeBuds 4 merupakan salah satu produk yang bakal dilancarkan pada tarikh berkenaan. Rekaan fizikalnya juga telah mula diperlihatkan menerusi poster acah yang dimuat-naik di Weibo.

Merujuk kepada hantaran berkenaan, Huawei FreeBuds 4 akan mempunyai rekaan yang hampir mirip dengan Huawei FreeBuds 3. Di mana, ia menggunakan rekaan fon telinga terbuka dengan badan bertangkai panjang yang berkemungkinan mempunyai panel kawalan sesentuh.

Seterusnya, ia juga dilengkapi pod pengecas yang berbentuk bujur bersama lampu LED pada bahagian hadapan. Ia turut dikhabarkan hadir dengan sokongan pembatalan hingar untuk penggunaan lebih baik dan disediakan dalam sekurang-kurangnya tiga pilihan warna seperti merah, kelabu dan putih.

Bersama-sama dengannya, Huawei turut bakal hadir dengan beberapa lagi rangkaian produk lain termasuklah siri MateBook baharu, televisyen pintar dan lain-lain. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan kemaskini selanjutnya ketika pelacaran rasmi kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd