Apple AirPods 3 Mungkin Akan Dilancarkan Pada Minggu Hadapan, Bersama Apple Music HiFi

Diterbitkan pada Mei 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple sejak kebelakangan ini sedia memfokuskan kepada penawaran perkhidmatan, sekaligus menawarkan perkhidmatan mereka kepada pelbagai platform – termasuk untuk Android. Salah satu perkhidmatan yang ditawarkan multi-platform adalah perkhidmatan penstriman muzik mereka, iaitu Apple Music.

Apple Music sedia ditawarkan untuk platform Android, dan kini melalui kod pembangunan untuk aplikasi berkenaan, Apple dilihat akan memperkenalkan ciri Apple Music HiFi atau berkualiti tinggi nirhilang tidak lama lagi. Perkara ini selari dengan laporan sebelum ini mengatakan Apple akan memperkenalkan penstriman muzik berkualiti tinggi tidak lama lagi. Selain untuk versi Android, kod pembangunan awal juga telah dilihat hadir pada versi iOS sebelum ini.

Pihak 9to5Google yang berjaya menyahkod fail .APK Apple Music turut menemui butiran menyatakan muzik 3 minit akan mempunyai saiz 1.5MB dengan kualiti kecekapan tinggi, 6MB pula dengan kualiti tinggi biasa, manakala 36MB untuk nirhilang dan 145MB untuk nirhilang Hi-Res. Codec pula dikatakan akan menyokong ALAC pada kadar sehingga 24-bit/48kHz untuk nirhilang dan ALAC 24-bit/192kHz.

Buat masa ini, perkhidmatan yang popular dengan penawaran penstriman muzik berkualiti tinggi adalah Tidal. Selain Tidal, pihak Spotify turut telah menyatakan hasrat memperkenalkan Spotify HiFi tidak lama lagi.

Selain memfokuskan perkhidmatan penstriman muzik, Apple juga dijangka memperkenalkan AirPods 3 pada minggu hadapan, yang mana dijangka menawarkan rekaan seumpama AirPods Pro.

Apple diperkatakan bakal memperkenalkan penawaran ini seawal minggu hadapan – berkemungkinan pada 18 Mei atau 19 Mei 2021 ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami