Apple Mungkin Akan Hadir Dengan TWS Baharu – Beats Studio Buds

Diterbitkan pada Mei 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kesemua aksesori audio Apple kelihatan lebih kurang sama, atau sekurang-kurangnya ada mengekalkan elemen yang biasa kita lihat pada produk Apple. Tetapi, produk-produk di bawah jenama Beats lebih berbeza. Rekaan, variasi, warna semuanya unik dan lain daripada lain – tetapi dalaman pula mirip dengan produk Apple sendiri seperti cip W1 atau H1.

Terkini, melalui kod iOS 14.6 dan tvOS 14.6 – sepasang TWS baharu muncul daripada Beats. Memberi petanda yang Apple bakal hadir dengan TWS baharu di bawah jenama ini. Produk ini adalah Beats Studio Buds. Ia adalah set fon telinga nirwayar sebenar dengan rekaan serta konsep seakan TWS lain di pasaran yang jauh berbeza daripada rekaan Apple dan juga Beats.

Setiap fon telinga adalah jenis kekacang atau fon telinga tanpa tangkai atau juga tanpa penyangkut yang biasa kita lihat. Ia lebih mirip seakan Samsung, Sony, Xiaomi dan lain-lain lagi. Pod pengecasan kelihatan seakan AirPods Pro, menawarkan pelbagai pilihan warna, mungkin akan hadir dengan pembatalan hingar aktif, cip baharu, atau mungkin juga sokongan audio spatial serta nirhilang dengan codec ALAC.

Spesifikasi penuh masih tidak didedahkan. Tetapi ia mungkin akan dilancarkan tidak lama lagi. Mungkin Beats Studio Buds adalah aksesori audio Apple yang boleh terus mentsrim audio nirhilang dan audio spatial pada bulan Jun kelak melalui Apple Music.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami